Kerabat Damping atau Keluarga DiRaja (Royal Family) diistilahkan sebagai keluarga raja yang memerintah berketurunan daripada darah daging raja yang mangkat atau raja yang sebelumnya. Pada 29 Oktober 2010, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan kuasa dan hak Tuanku di bawah Fasal 23 Bahagian Pertama, dan Fasal 7(2)(e) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 suka dan berkenan melantik dan memasukkan keluarga Tuanku dan kerabat keturunan zuriat Almarhum Sultan Ismail Ibni Alhmarhum Sultan Ibrahim dan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail sebagai Kerabat Damping, serta menetapkan susunan.
Kerabat Damping
Kerabat Damping atau Keluarga DiRaja
Setiap orang kerabat damping berhak dan mempunyai bendera peribadi sendiri yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku. Bendera tersebut boleh dikibar di kediaman rasmi masing-masing. Bendera kecil dipasang pada sebelah kanan kenderaan rasmi mereka apabila menghadiri majlis rasmi atau istiadat. Imej bendera peribadi boleh digunakan atas kepala surat (letterhead) dan segala persuratan dan dokumen peribadi.
Tuanku Sultan dan Tunku Mahkota berhak menggunakan lambang mahkota kerajaan pada cypher mereka. Permaisuri Johor menggunakan lambang mahkota permaisuri (diadem) pada cypher baginda.