Sejak zaman muda lagi, Temenggong Daeng Ibrahim telah menunjukkan ciri kepimpinan berwawasan serta semangat kecekalan dan keberanian. Dalam tempoh selama 16 tahun sebelum dilantik sebagai Temenggong Johor, baginda berusaha mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris serta selok-belok pengurusan dan pentadbiran daripada pegawai-pegawai Syarikat Hindia Timur (The East India Company). Kebolehan dan kepintaran baginda mendapat perhatian pihak British. Mereka melantik baginda sebagai wakil diplomatik dalam perbincangan politik dengan negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang ketika itu mengalami masalah pewarisan kuasa. Temenggong juga mempunyai pandangan jauh bahawa pendidikan, peradaban Islam dan penguasaan bahasa Inggeris amat perlu bagi menjamin kemajuan rakyat dan negeri Johor. Temenggong menubuhkan Sekolah Melayu Kampung Gelam, Singapura pada tahun 1840 untuk membolehkan pelajar Melayu membaca dan menulis. Baginda juga membiayai perbelanjaan sekolah Inggeris yang ditubuhkan oleh seorang paderi Katolik, Father Keasbery.
Pendidikan
Pendidikan dan Pelajaran
Selain belajar di sekolah agama, baginda berkehendak putera-puteranya turut mendapat pendidikan Inggeris. Oleh itu, baginda menghantar mereka termasuk Wan Abu Bakar dan anak-anak pengikut setia baginda seperti Jaafar Muhammad, Mohamad Salleh bin Perang, Mohamad Ibrahim Abdullah Munshi dan lain-lain untuk menerima pendidikan Inggeris di Kolej Keasbery. Kebijaksanaan Temenggong memberi keutamaan kepada pendidikan telah melahirkan kumpulan cerdik pandai rakyat Johor. Selepas menaiki takhta, Maharaja Abu Bakar melantik rakan sekolah baginda sebagai ahli Majlis Jumaah Menteri untuk bersama-sama mentadbir dan memajukan Johor.
Sultan Abu Bakar meneruskan visi Temenggong Ibrahim untuk melengkapkan rakyat dengan pendidikan. Sekolah Inggeris pertama didirikan di Iskandar Puteri pada tahun 1864 yang dinamakan “Johor Free School”. Sekolah Melayu yang pertama didirikan di Kampung Kandang Ayam, Johor Bahru. Sekolah Melayu juga didirikan di Muar, Batu Pahat dan jajahan lain. Sekolah Cina yang pertama didirikan di Johor Bahru pada tahun 1901. Sekolah Tamil yang pertama didirikan di Lanadron Estate Panchor, Muar pada tahun 1924. Lebih banyak sekolah Melayu, Inggeris dan Cina termasuklah sekolah untuk murid perempuan dibuka pada tahun 1931. Pentadbiran dan pengurusan sekolah diletakkan di bawah Pejabat Pelajaran yang diketuai oleh Dato’ Bentara Dalam, Dato’ Mohamad Ibrahim Abdullah Munshi.
Pada tahun 1902, Sultan Ibrahim mengeluarkan peraturan yang berkehendakkan keperluan pendidikan Melayu, Inggeris, Cina dan Agama Islam. Antaranya:
- Setiap rakyat Johor daripada semua bangsa hendaklah menghantar anak-anak lelaki mereka yang berusia 7 tahun ke atas belajar di sekolah kerajaan pada setiap hari melainkan hari kelepasan.
- Mereka mesti belajar di sekolah dari usia 7 hingga 16 tahun.
- Ibu bapa atau waris bertanggungjawab menghantar anak ke sekolah.
- Ibu bapa yang tidak patuh kepada arahan ini akan didenda $25.00 atau penjara 3 bulan. Kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah tetapi tidak pergi ke sekolah akan ditangkap dan dihukum.
Enakmen Pendidikan 1902 ini merupakan pembaharuan bagi memperkasa pendidikan negeri Johor secara berterusan ke tahap tertinggi. Dasar ini berjaya mewujudkan kelompok masyarakat dan rakyat yang cerdik dan berfikiran waras serta menambahkan kecekapan dan produktiviti. Selain itu, Kerajaan Johor menyediakan biasiswa dan dermasiswa untuk membantu pelajar yang berkelayakan menyambung pendidikan peringkat tinggi dalam bidang tertentu di institusi pengajian tinggi di seberang laut. Sultan Abu Bakar menghantar anak saudara baginda, iaitu Ungku Othman dan Abdul Rahman Andak untuk belajar di London. Biasiswa Kerajaan Johor atas nama Biasiswa Sultan Ibrahim, Biasiswa Toh Ah Boon, Biasiswa Douglas Campbell, Biasiswa Dato’ Onn dan kini ditambah dengan Biasiswa YPJ, Biasiswa Yayasan Iskandar, Yayasan Temenggong Abdul Rahman dan lain-lain dikurniakan kepada Bangsa Johor yang berkelayakan dari segi pencapaian akademik dan bukannya berdasarkan bangsa, darjat atau keturunan. Melalui pendidikan dan sumber biasiswa, Kerajaan Johor berjaya melahirkan banyak kumpulan masyarakat yang berpendidikan, cerdik pandai, pintar dan menjadi tokoh dan pemimpin tersohor yang sentiasa berfikiran waras untuk memajukan dan menjamin kemakmuran negeri.
Antara tokoh yang terkenal ialah Tan Sri Noah Omar (mantan Speaker Dewan Rakyat), Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman (mantan Timbalan Perdana Menteri), Tan Sri Abdul Kadir bin Yusof (mantan Menteri Undang-undang), Tun Fatimah binti Hj Hashim (Menteri Wanita Pertama dalam Jemaah Menteri), Tun Musa Hitam (mantan Timbalan Perdana Menteri), Profesor Ungku Omar (pakar perubatan), Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz (Naib Canselor UM), Tan Sri Jaafar Hussein (mantan Gabenor Bank Negara), Tan Sri Aziz Taha (mantan Gabenor Bank Negara) dan ramai lagi. Di peringkat negeri pula tidak kurang para cendekiawan yang menjadi pemimpin seperti Dato’ Sri Amar Diraja Abdul Rahman Andak dan Ahli-ahli Jumaah Menteri Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim, Menteri-menteri Besar termasuk Dato’ Onn Jaafar, Tan Sri Hasaan Yunos, Tan Sri Othman Sa’at dan lain-lain.
Pendidikan Agama
Sultan Abu Bakar meletakkan kedudukan agama Islam kepada satu peringkat tertinggi dengan memaktubkannya dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) yang digubal dan ditandatangani pada 14 April 1895. UUTKJ dimasyhurkan dan diwartakan pada 14 September 1895. Fasal 57 UUTKJ 1895 ini memperuntukkan:
”Adalah yang dikatakan ”Agama Negeri” bagi jajahan dan Kerajaan Johor ini iaitu agama Islam maka yang demikian hendaklah agama Islam itu berpanjangan dan berkekalan selama-lamanya menjadi dan diaku dan disebut “Agama Negeri” ya’ani tiadalah sekali-kali boleh sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sungguhpun segala agama lain ada dibenarkan dan sentiasa termaklum patut dibenarkan dengan aman dan sempurna boleh diperagamakan dalam segala dan segenap daerah takluk kerajaan Johor oleh orang yang beragamakan “dia”.
Bagi memperkukuh pendidikan Islam, Kesultanan Johor menubuhkan pejabat Agama Islam dan membina sekolah agama. Mengikut sejarah, pendidikan Islam bermula secara tradisional di rumah guru atau imam, lalu berkembang menjadi sekolah pondok dan seterusnya menjadi madrasah. Sekolah agama yang pertama dikenali sebagai Sekolah Al-Quran dibuka pada tahun 1907 di Kukup, Pontian, diikuti di Kampung Kandang Ayam sebelum berpindah ke Sekolah Melayu Sri Kopi di Jalan Air Molek, Johor Bahru. Dengan pertambahan mata pelajaran, Sekolah Al-Quran bertukar menjadi Sekolah Al-Kitab. Sebelum bangunan sendiri dibina, sekolah agama ketika itu menumpang di Sekolah Melayu pada sebelah petang. Sultan Abu Bakar menggalakkan sekolah agama dibuka di setiap daerah. Pada tahun 1918, nama Sekolah Al-Kitab ditukar kepada Sekolah Agama Petang dan kemudian ditukar hingga kini kepada Sekolah Agama Kerajaan Johor.
Mulai 1918, sekolah agama hanya mengutamakan pelajar lelaki, namun akhirnya diberi peluang kepada pelajar perempuan. Pendidikan yang dibezakan adalah dari segi mata pelajaran yang diberikan. Sehingga tahun 1936, terdapat 68 buah sekolah agama lelaki dan 9 buah sekolah agama perempuan.
Sultan Ibrahim amat menitikberatkan pendidikan termasuklah pendidikan agama sehingga pada tahun 1902, baginda mengeluarkan peraturan mewajibkan pendidikan kanak-kanak seawal usia 7 tahun. Memandangkan keperluan terhadap pembelajaran agama semakin tinggi, sekolah agama mula dibuka pada 1918. Pada tahun 1927, Kerajaan Johor bersetuju meningkatkan tempoh pengajian hingga Darjah Enam dan Darjah Khas diwujudkan pada tahun 1930. Pendidikan agama menjadi tuntutan bagi orang Islam untuk mempelajari ilmu agama. Pendidikan Islam bukanlah hanya bersifat keagamaan semata-mata tetapi juga meliputi keseluruhan aspek kehidupan.