Kesultanan Johor (1528–1855) mengamalkan sistem pemerintahan secara feudal. Kedudukan Raja yang memerintah disokong dan dibantu oleh kerabat dan penasihat. Secara tradisi, Raja mengurniakan gelaran kepada penasihat dan pembesar yang berkhidmat dan membantu Raja. Mereka terdiri daripada kalangan kerabat dan mempunyai pengetahuan, kemahiran dan integriti yang tinggi. Mereka diberi kuasa, hak dan keistimewaan yang tertentu. Jawatan Bendahara merupakan pembesar utama yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal dalaman istana dan perbendaharaan. Temenggong pula bertanggungjawab menjaga keselamatan dan memantau kemajuan penduduk. Jawatan dan gelaran Laksamana dikurniakan kepada pembesar yang mengurus keselamatan perkapalan dan perdagangan. Secara generiknya, gelaran Bentara bermaksud mereka yang memegang jawatan yang membantu Raja. Jawatan-jawatan ini dimuliakan dengan gelaran Dato’ (ascribed title) seperti Dato’ Paduka Raja, Dato’ Bendahara, Dato’ Temenggong dan Dato’ Laksamana. Gelaran ini tidak mempunyai lencana atau tanda dan tidak menjadi warisan.
Tanda Kesatriaan
Tanda Kesatriaan
Sultan Abu Bakar mengekalkan gelaran ascribed title Dato’ kepada Ahli Jumaah Menteri Baginda. Gelaran ini merupakan gelaran pada jawatan yang bertujuan menaikkan status jawatan, tetapi tidak semestinya penyandang jawatan itu bergelar Dato’. Dengan itu wujudlah gelaran jawatan seperti Dato’ Menteri Besar, Dato’ Bentara Dalam, Dato’ Bentara Luar, Dato’ Sri Amar DiRaja, Dato’ Setia Raja, Dato’ Hakim, Dato’ Mufti, Dato’ Kadi, Dato’ Penggawa Timur, Dato’ Penggawa Barat dan lain-lain.
Pada tahun 1886, selepas menzahirkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia yang membawa gelaran Dato’, Sultan Abu Bakar mengurniakannya kepada Ahli Jumaah Menteri. Dengan itu, gelaran ascribed title Dato’ pada jawatan-jawatan tidak lagi dipakai. Walau bagaimanapun, sebagai kesinambungan dan warisan sejarah, gelaran jawatan Dato’ bagi Pegawai-pegawai Istiadat Istana masih dikekalkan seperti Dato’ Penghulu Biracana, Dato’ Penghulu Istiadat, Dato’ Bentara Kanan, Dato’ Bentara Kiri dan Dato’ Penghulu Istana. Jawatan dan gelaran Dato’ Perdana Dalam (Grand Chamberlain) dikekalkan dalam perjawatan istana Johor.
Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (DK)
Darjah Kerabat Johor (D.K) Yang Amat Dihormati dizahirkan pada 30 Julai 1886 dan mengandungi dua pangkat, D.K I dan D.K II. Seru Darjah ialah “Muafakat Itu Berkat” (Concord is a Blessing). Pangkat Pertama Darjah ini dikurniakan kepada Kerabat Damping, Raja-raja Melayu dan Raja-raja negara asing. Pangkat Kedua Darjah ini dikurniakan kepada anak-anak Raja asing. Selain itu, Darjah Kerabat juga dikurniakan kepada Orang-orang Besar Negeri Johor, ketua-ketua negara dan pemimpin yang membantu memajukan Johor. Darjah ini tidak membawa apa-apa gelaran kerana taraf Raja adalah lebih mulia dan utama daripada gelaran lain.
Darjah Kerabat Pangkat Pertama (D.K I) mengandungi seutas Kalung (Collar) berbentuk rantai yang diperbuat daripada emas dengan nama Sultan Abu Bakar dalam tulisan Jawi yang diperbuat daripada enamel sebagai penyambung rantai. Di bahagian hadapan kalung terdapat lencana perisai putih dengan bulan sabit dan bintang simbol agama Islam, diapit dengan panji-panji Raja (kanan) dan bendera negeri Johor (kiri) serta mahkota di puncaknya. Di bawahnya, terdapat skrol biru dengan seru darjah dalam tulisan Jawi “Muafakat Itu Berkat”. Sebiji bintang besar (breast star) diperbuat daripada emas dan perak berukuran 90 mm berbentuk bintang pecahan sembilan di tengahnya bulan sabit dan tulisan Jawi “Kepada Allah Berserah” dan di atasnya sebilah pedang bersilang dengan keris menjunjung mahkota dikelilingi enamel merah dengan perkataan “Muafakat Itu Berkat”. Sebiji bintang kecil (sash badge) bentuk bintang pecahan sembilan 56 mm dan sehelai kain selempang warna kuning kunyit lebar 86 mm melengkapi darjah ini.
Pangkat Kedua (D.K II) mengandungi sebiji bintang besar 78 mm pecahan tujuh dan sebiji bintang kecil 56 mm (neck badge) dan reben kuning lebar 50 mm.
Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia
Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia dengan seru “Kepada Allah Berserah” (Unto Allah Resigned) dizahirkan pada 30 Julai 1886 dalam tiga pangkat. Pangkat Pertama (Grand Commander) Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) dilengkapi seutas kalung emas dengan sambungan nama para sahabat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali dalam tulisan Jawi diperbuat daripada enamel warna merah. Di bahagian hadapan kalung dibentuk dengan dua ekor harimau yang melindungi dua perkataan “Muhammad” dalam tulisan Jawi dan diapit oleh cogan agama (kanan) dan cogan alam (kiri) dan lambang mahkota di puncaknya. Di bahagian bawah terdapat skrol biru dengan tulisan Jawi seru darjah “Kepada Allah Berserah”. Sebiji bintang besar berukuran 90 mm diperbuat daripada perak berbentuk gelombang api pecahan lima dengan bulan bintang emas menyambung pecahan itu dan nama Nabi Muhammad s.a.w dalam tulisan Jawi di tengahnya dan lambang mahkota di bawahnya dikelilingi enamel biru dengan seru “Kepada Allah Berserah”, sebiji sash badge 56 mm serta sehelai kain selempang 86 mm lebar warna kuning berjalur biru di tengahnya melengkapi darjah ini.
Pangkat Kedua (Commander) Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J) mengandungi sebiji bintang besar 90 mm berbentuk bintang pecahan lima diperbuat daripada perak dan sebiji bintang kecil (neck badge) 56 mm serta kain pita lebar 50 mm. Pangkat Ketiga Setia (Companion) mengandungi sebiji bintang kecil (breast badge) digantung pada reben 38 mm lebar. Pangkat Pertama (S.P.M.J) dan Pangkat Kedua (D.P.M.J) membawa gelaran “Dato’” bagi ahli lelaki dan “Datin Paduka” bagi ahli perempuan. Tidak ada gelaran bagi Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (S.M.J).
Darjah Sultan Ismail Johor Yang Amat Diberkati
Darjah Sultan Ismail Johor Yang Amat Diberkati merupakan darjah peribadi Sultan Ismail yang dizahirkan pada 10 April 1978 dalam dua pangkat, iaitu Dato’ Sri Setia Sultan Ismail Johor (S.S.I.J), Dato’ Setia Sultan Ismail (D.S.I.J) kedua membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi perempuan. Seru Darjah ialah “Taat dan Setia” (Obedient and Loyalty). Pada tahun 2015, DYMM Tuanku bertitah darjah ini tidak dikeluarkan lagi.
Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi
Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi dizahirkan pada 23 Mac 2015, bersempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim. Darjah ini mempunyai tiga pangkat. Pangkat Pertama (Grand Commander) Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) mengandungi seutas kalung emas dengan nama para sahabat, iaitu Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali dalam tulisan Jawi diperbuat daripada enamel biru menyambung rantai. Di bahagian hadapan diletakkan nama Nabi Muhammad s.a.w dalam tulisan Jawi diperbuat daripada enamel warna merah diapit dengan lambang Cogan Agama (kanan) dan Cogan Alam (kiri), di puncaknya lambang mahkota dan di bawahnya skrol biru dengan seru darjah “Tawakal kepada Allah”. Sebiji bintang besar 90 mm diperbuat daripada perak berbentuk bintang pecahan tujuh sinar cahaya bersemarak dengan tujuh lambang bulan sabit dan bintang menyambung setiap semarak. Di bahagian tengah bintang terdapat monogram “SI” dikelilingi lingkaran enamel biru dengan seru darjah. Sebiji sash badge 56 mm dan sehelai kain selempang 86 mm lebar berjalur sama lebar warna biru, putih, kuning, putih dan biru melengkapi darjah ini.
Pangkat Kedua (Commander) Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (D.M.I.J) mengandungi sebiji bintang besar 86 mm diperbuat daripada perak berbentuk lima pecahan bersemarak cahaya dan bulan sabit dan bintang warna emas menyambung setiap semarak dan sebiji neck badge 56 mm dan reben 50 mm. Pangkat Ketiga Setia Mulia (Companion) terdiri daripada bintang kecil 56 mm digantung pada reben 38 mm.
Kuasa Kurniaan
Kuasa kurniaan darjah adalah hak mutlak DYMM Sultan sebagai Raja dan Kepala Darjah dengan telek pandang dan limpah perkenan Baginda yang amat sangat sebagaimana termaktub di bawah Fasal 7(2)(f) UUTKJ. Antara orang yang layak dipertimbangkan ialah kerabat diraja, putera Raja asing, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, tokoh ilmuwan, penggerak sosial dan pemimpin yang turut sama membangunkan dan memajukan negeri. Sebelum menerima kurniaan, calon Melayu dan Islam menunaikan solat sunat taubat, diikuti dengan membaca sumpah syarie di hadapan Mufti dengan berikrar mengukuhkan taat setia kepada Raja dan Allah S.W.T., menjauhkan diri daripada perbuatan yang ditegah oleh agama Islam, patuh kepada undang-undang serta memelihara maruah dan integriti. Sebelum dan selepas kurniaan, mereka dimuliakan dengan bacaan doa oleh Mufti memohon perlindungan dan peliharaan Allah S.W.T.
Fasal 13 Undang-undang Darjah memberi hak dan kuasa kepada Raja menarik balik dan membatalkan kurniaan sekiranya seorang Ahli Darjah mengingkari sumpah, atau menderhaka, atau melakukan dan disabitkan perbuatan jenayah, atau kerana dosa yang amat besar yang mendatangkan sifat kehinaan kepada orang baik-baik. Negeri Johor tidak mempunyai persatuan sosial bagi Dato’ Johor. Dato’ Johor tidak mempunyai hak keistimewaan dan tidak mempunyai lambang jawatan. Tanggungjawab dan kewajipan seorang Dato’ adalah mempertahankan dan memperkasa kedaulatan Raja dan darjah. Mereka juga perlu memelihara maruah diri dan integriti tinggi. Ahli Am, iaitu Dato’ yang terdiri daripada orang Melayu beragama Islam dan rakyat Johor juga dilantik sebagai Ahli Jumaah Pangkuan Negeri (Council of the Supporters of the Country) yang bersidang selepas kemangkatan Raja dan bertanggungjawab mengesahkan waris dilantik Raja.
Keunikan Tanda Kesatriaan Johor
Tanda kesatriaan Johor adalah unik dan berbeza dengan negeri-negeri lain. Darjah kebesaran Johor diwujudkan sejak tahun 1886. Ia mempunyai peraturan dan undang-undangnya dipadankan daripada Darjah Inggeris Saint Michael dan Saint George. Ahli Pangkat Pertama (Knight Grand Cross GCMG) dan ahli Pangkat Kedua (Knight Cross KCMG) menerima Knighthood dan bergelar “Sir”. Berdasarkan peraturan ini, Johor tidak menggunakan gelaran Dato’ Sri walaupun pangkat pertama disebut Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (Grand Commander). Kaedah ini mengikut nasihat Sultan Abu Bakar supaya tidak membezakan gelaran dan darjah tidak dijadikan rebutan. Selain itu, peraturan darjah GCMG dan KCMG Inggeris menetapkan ahli perempuan bergelar “Dame”. Oleh itu, Undang-undang dan Peraturan Darjah Johor menetapkan ahli perempuan Pangkat Pertama dan Pangkat Kedua bergelar “Datin Paduka”. Gelaran ini menggantikan gelaran Dato’ bagi ahli perempuan, sebagaimana menjunjung titah DYMM Sultan Iskandar yang terkandung dalam Pekeliling Kerajaan Johor SUKJ 338/1-8 bertarikh 30 Mac 1986.
Keunikan kedua ialah Dato’ Johor bergelar dengan panggilan “Yang Berhormat” (His Excellency), satu panggilan yang dikurniakan oleh Sultan Abu Bakar kepada Ahli Jumaah Menteri pada tahun 1862. Panggilan ini berbeza daripada “Yang Berhormat” (The Honorable) atau “YB” Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri yang diwujudkan pada tahun 1948. Negeri-negeri lain menggunakan panggilan “Yang Berbahagia” (The Fortunate) dipendekkan kepada “Y. Bhg” atau “Yang Hormat”.
Keunikan ketiga ialah isteri seorang Dato’ Johor tidak bergelar Datin kerana penerima darjah ialah suami. Isteri seorang Ahli GCMG atau KCMG bergelar “Lady” diikuti dengan nama suami. Misalnya isteri Sir Winston Churchill bergelar Lady Churchill. Dengan peraturan itu, isteri Dato’ Abdul Rahim misalnya digelar “Datin Dato’ Rahim”, atau dipendekkan kepada “Datin Rahim”. Gelaran ini adalah bagi isteri pertama sahaja. Sekiranya seorang Dato’ itu meninggal dunia, isteri berhak digelar sebagaimana di atas selagi isteri itu tidak berkahwin lagi. Sekiranya isteri meninggal dunia dan Dato’ itu berkahwin lagi, isteri baru boleh digelar “Datin Dato’….”
Nasihat Sultan Abu Bakar
Dengan berpandangan jauh dan memuliakan kedaulatan darjah dan tanda kesatriaan Johor, Sultan Abu Bakar menasihatkan walaupun tiada dilarang atau ditegah akan Raja membuat, mengadakan dan menjadikan darjah tetapi mengingatkan supaya tidak mengadakan banyak darjah, sebagaimana termaktub di bawah Fasal 63 UUTKJ yang berbunyi:
“Adalah diperingatkan janganlah diperbuat, dijadi dan diadakan sesuatu Darjah lain dan sebab semata-mata membanyakkan dan menambahkan bilangan darjah-darjah sahaja dengan tidak difikirkan dengan cermat dan baik apakah berguna dan berkehendak dijadikan yang baharu kerana banyak bilangan dan terlalu banyak kelihatan dalam negeri tanda-tanda kemuliaan dan kebesaran akan menjadikan kurang mutu dan kurang harga semuanya….”