Skip to main content

Sejarah Tadbir Urus

Membuka Pusat Perdagangan di Singapura

Dato’ Temenggong Abdul Rahman Ibni Dato’ Abdul Hamid demi menjunjung titah Sultan Mahmood III, Sultan Johor-Riau telah belayar dari Riau ke Singapura pada tahun 1812. Ia bertujuan untuk mengesahkan ketuanan dan membuka Singapura sebagai pusat perdagangan. Perancangan Temenggong menjadi kenyataan apabila pada tahun 1819, British memohon kebenaran menandatangani persetiaan dengan Temenggong untuk membangunkan sebuah gudang perdagangan yang dikendalikan oleh Syarikat Hindia Timur (The East India Company).

Selepas Kemangkatan Sultan Mahmood III

Belanda mengangkat Tengku Abdul Rahman, iaitu putera kedua Sultan Mahmood sebagai Sultan Johor-Riau. Pada tahun 1818, British telah melantik Tengku Husin, iaitu putera sulung Sultan Mahmood sebagai Sultan Johor dan Temenggong Abdul Rahman sebagai Temenggong Johor. Tindakan ini disifatkan sebagai permulaan British melaksanakan strategi pecah dan perintah dan permulaan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Johor.

Memperlengkapkan Diri untuk Mengambil Alih Tugas Temenggong

Temenggong Daeng Ibrahim menunggu selama 16 tahun sebelum dilantik menjadi Dato’ Temenggong Ibrahim. Baginda tidak mensia-siakan masa itu, bahkan mengambil kesempatan mempelajari bahasa Inggeris dan hal-ehwal perniagaan, pentadbiran dan pengurusan dengan pegawai Syarikat Hindia Timur. Pihak British amat tertarik dengan perwatakan, kebolehan dan kebijaksanaan Temenggong sehingga melantik beliau menjadi wakil dan jurucakap dalam perundingan dengan Raja-raja Melayu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Temenggong Ibrahim juga menunjukkan keberanian apabila beliau bersama-sama pengikutnya berjaya menghapuskan kegiatan perompak dan lanun di perairan Singapura dan Riau. Pada tahun 1846, baginda Queen Victoria menghadiahkan sebilah pedang emas kepada Temenggong sebagai menghargai jasa khidmatnya.

Mempersiapkan Keturunan Baginda Belajar Pendidikan Inggeris

Temenggong Ibrahim telah menghantar anakanda baginda termasuk Wan Abu Bakar serta anak-anak pengikut setia baginda ke Kolej Keasberry, iaitu sebuah sekolah Katolik di Singapura. Antara pelajar yang mengikut bersama Wan Abu Bakar ialah Jaafar Muhammad, Mohammed Salleh Perang dan Ibrahim Abdullah Munshi. Unsur pelajaran dan pendidikan inilah yang membawa kepada pemodenan Johor.

Pemangkin Konsep Johor Moden

Sultan Abu Bakar merupakan pemangkin yang menggerakkan gagasan Johor Moden. Dengan latar belakang pendidikan Inggeris, Melayu dan peradaban agama serta perwatakan yang berkarisma, baginda sentiasa peka terhadap perancangan, muslihat dan strategi British untuk campur tangan dalam pentadbiran Johor dan seterusnya menakluki Johor.

Birokrasi Pentadbiran Kerajaan Johor

Pada tahun 1852, Temenggong Ibrahim menubuhkan pejabat Raja, pejabat Bakal Raja dan pejabat Menteri di Istana Temenggong Teluk Belanga yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan dan perlindungan kepada rakyat. Peristiwa ini membuktikan bahawa perkhidmatan pegawai-pegawai Melayu yang kemudiannya dijadikan Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (PTNJ) dizahirkan di istana. Dengan termeterainya persetiaan pada 10 Mac 1855 yang memindahkan ketuanan Negeri dan Kerajaan Johor daripada Sultan Ali kepada Temenggong, British mengiktiraf Temenggong sebagai Dato’ Temenggong Sri Maharaja Johor. Ramai pengikut Temenggong berpindah ke Iskandar Puteri untuk membebaskan diri daripada tertakluk kepada peraturan dan undang-undang British di Singapura.

Pada tahun 1858, pentadbiran kerajaan Johor juga dipindahkan ke Iskandar Puteri dan Raja Ahmad (Raja Kecil) dilantik sebagai Wakil Mutlak Temenggong. Birokrasi ini berkembang pada tahun 1862, apabila Maharaja Abu Bakar menambahkan beberapa pejabat seperti kastam, perbendaharaan, tanah dan ukur, polis, kehakiman, pertanian, agama, kesihatan dan pelajaran bersesuaian dengan pertambahan penduduk dan kemajuan ekonomi Johor.

Pelayaran Pertama ke England

Sultan Abu Bakar menunjukkan keberanian dan ketabahan memulakan pelayaran pertama ke England pada tahun 1866 untuk beberapa tujuan:

Pertama: Bertemu dan membina keakraban dengan Queen Victoria supaya baginda dipandang tinggi dan disegani oleh orang Inggeris khasnya yang berada di Singapura.

Kedua: Memperkenalkan Johor kepada dunia serta menjalankan perdagangan antarabangsa.

Ketiga: Mempelajari apa-apa jua yang boleh dibawa balik bagi faedah rakyat baginda.

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini