Pada zaman silam, sesebuah organisasi atau kumpulan manusia mengadakan tanda-tanda kebesaran sebagai lambang ketuanan, kedaulatan, keabsahan dan legitimasi penubuhan, pelantikan pemerintah dan kewujudan organisasi, wilayah atau kerajaan. Pada asalnya, bendera dan panji, pedang, perisai, lembing, tombak dan lain-lain digunakan sebagai peralatan perang untuk melindungi keselamatan pemimpin. Dengan peredaran zaman, tanda-tanda kebesaran ini menjadi sebahagian peralatan istiadat bagi sesebuah negeri atau negara.
Lambang Kebesaran
Lambang Kebesaran
Mahkota Kerajaan
Menerusi Perjanjian Setia pada 11 Disember 1885, British mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan bagi Negeri Johor yang merdeka dan berdaulat. Sultan Abu Bakar mengilhamkan sebuah mahkota yang melambangkan keabsahan dan kedaulatan Baginda dan waris-waris keturunan Baginda yang memerintah Johor. Kewujudan sebuah mahkota merupakan keberanian Baginda memperkenalkan pembaharuan terhadap adat istiadat dan pakaian tradisional Raja-raja Melayu. Ia juga membawa Johor ke era moden. Johor merupakan negeri pertama mengadakan sebuah mahkota dan mengadakan istiadat kemahkotaan pada 29 Julai 1886. Mahkota kerajaan Johor dipadankan daripada mahkota British King Edward. Ia diubah suai dengan memasukkan unsur lambang Islam seperti bulan sabit dan bintang serta kalimah Allah dan Muhammad di mercunya. Balang mahkota, bulan sabit dan bintang dihiasi dengan berlian, zamrud, delima dan batu permata.
Pada tahun 1930, Sultan Ibrahim mengadakan sebuah mahkota (diadem) bagi Permaisuri Johor yang diperbuat daripada emas dan dihiasi berlian dan batu permata. Kedua-dua Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri dibuat khas oleh Syarikat J.W. Benson, London iaitu syarikat sama yang membuat peralatan istiadat istana British.
Bendera
Temenggong Daeng Ibrahim mengibarkan bendera warna hitam sebagai bendera negeri semasa menjejakkan kaki di Tanjung Puteri pada tahun 1855. Warna hitam dipadankan daripada bendera Nabi Muhammad s.a.w. Pada tahun 1868, Sultan Abu Bakar mereka tujuh bendera yang berkaitan raja dan 13 bendera yang berkaitan kerajaan. Baginda mengambil pengajaran agama Islam sebagai falsafah rekaan bendera. Bulan sabit dan bintang ialah lambang agama Islam. Pecahan bintang 9, 7 dan 5 adalah mengikut kefahaman Islam yang mengutamakan angka ganjil. Rukun Islam 5 perkara, 7 kali mengelilingi kaabah dan mengerjakan sa’ie, 7 petala langit dan 7 petala bumi, 7 dosa besar, Ramadan bulan ke-9, Hari Arafah pada 9 Zulhijah dan 9 mukjizat Nabi Musa. Angka 9 juga merupakan angka ganjil yang tertinggi dan melambangkan kepimpinan.
Bendera yang berkaitan Raja
Bendera yang berkaitan kerajaan
Sultan Abu Bakar menggunakan alam semula jadi untuk memilih warna bendera. Baginda memilih warna biru langit (royal blue/sky blue) untuk dijadikan warna Raja dan warna biru laut (navy blue) bagi rakyat. Warna merah melambangkan keberanian dan kecekalan serta semangat disiplin dan jati diri pengikut dan hulubalang Temenggong ketika meneroka hutan belantara Johor untuk mengeluarkan hasil hutan. Warna putih melambangkan kesucian dan berserah kepada Allah S.W.T. Ketajaman bintang melambangkan jati diri rakyat yang berkemampuan membuat keputusan yang tepat dan betul. Warna kuning ialah warna tradisi dan warisan diraja.
Pada tahun 2006, Almarhum Sultan Iskandar berkenan bendera Pesuruhjaya Muar, Batu Pahat dan Segamat dihidupkan semula dan dijadikan bendera daerah. Pada tahun 2012, DYMM Sultan Ibrahim bertitah supaya diadakan bendera bagi semua daerah yang lain, iaitu Johor Bahru, Kluang, Pontian, Mersing, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai. Pada tahun 2010, Tuanku bertitah supaya diadakan bendera bagi Tunku Panglima, Tunku Putera, Tunku Tun dan Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam. Pada tahun 2020, dihidupkan semula bendera Raja Muda yang telah dicipta pada tahun 1963.
Jata Kerajaan
Pada tahun 1886, Sultan Abu Bakar menzahirkan idea untuk diadakan lambang atau jata negeri. Beberapa orang tukang kayu Melayu membuatnya daripada kayu jati Johor. Lambang ini mengandungi perisai putih yang diukir lambang bulan sabit dan bintang pecahan lima warna kuning di tengahnya yang menandakan Islam dan empat bintang kecil di penjuru perisai yang menandakan empat wilayah utama yang dibuka iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Segamat. Perisai ini dikawal oleh dua ekor harimau muda yang melambangkan keberanian, disiplin dan kerajinan. Dua ekor harimau ini menjunjung dan mendukung sebuah mahkota yang menunjukkan kedaulatan Raja yang menaungi rakyat. Di bahagian bawah jata ialah ukiran gambir dan lada hitam, iaitu dua komoditi yang memajukan ekonomi negeri Johor. Di bawahnya pula terdapat sebuah skrol berwarna biru yang tertera moto kerajaan bertulisan jawi “Kepada Allah Berserah”. Warna putih menandakan kesucian, kuning warna DiRaja dan biru warna Raja memerintah.
Peralatan Istiadat
Pada tahun 1886, Sultan Abu Bakar mengilhamkan peralatan istiadat sebagai lambang kuasa Raja. Peralatan ini digunakan sebagai senjata semasa peperangan bagi melindungi dan mempertahankan keselamatan Raja. Peralatan Adat Istiadat Diraja Johor mengandungi sebuah Cogan Agama, sebuah Cogan Alam, Keris Darjah Kerabat, Keris Darjah Mahkota, Panji-panji Raja, Panji-panji Negeri, 16 batang lembing, 2 payung besar, 2 payung kecil dan 16 batang tongkat. Sebatang Cokmar disandang oleh Dato’ Penghulu Biracana, manakala Dato’ Penghulu Istiadat dan dua orang penolongnya menyandang Tongkat Istiadat. Peralatan Istiadat disandang oleh Pasukan Penjawat Istana (The Honourable Corp of Insignia Bearers) yang pada masa dahulu dilantik daripada kalangan “Orang Dalam” iaitu anggota dan anak lelaki mereka yang bekerja dengan Raja di dalam istana.
Fasal 61 UUTKJ 1895 menetapkan bahawa Mahkota Kerajaan dan segala Peralatan Kerajaan hendaklah sekaliannya ini selama-lamanya dipakai dan diperkekalkan dengan rupa dan keadaannya yang asal dan tidak boleh dipinda-pinda.
Peralatan istiadat (Sumber : Muzium DiRaja Johor)
Lagu Bangsa Johor
The Johore Anthem. (Sumber : Johor Militiary Forces)
Dalam satu majlis meraikan lawatan Sultan Abu Bakar ke Colombo, Sri Lanka pada tahun 1876, Baginda tertarik dengan persembahan pancaragam brass band yang memainkan lagu untuk Baginda. Apabila berangkat balik ke Johor, Baginda berkehendakkan satu pasukan pancaragam ditubuhkan. 30 orang pemuda Melayu dipilih untuk menyertai pancaragam itu. Pada tahun 1862, Baginda memilih dan melantik seorang pemuzik Belanda, Mackertich Gallistan memimpin pancaragam itu. Pancaragam ini pernah membuat persembahan dalam majlis diraja termasuklah di Istana Tyersall di Singapura.
Pada tahun 1886, selepas ATSN ditubuhkan, Gallistan ditugaskan untuk menubuhkan brass band ATSN. Pasukan ini membuat persembahan pada setiap hujung minggu di band stand di Bukit Bintang di kawasan Kebun Bunga Istana Besar. Gallistan mengarang Lagu Johor tanpa lirik yang “dipadankan daripada lagu Dondang Sayang Melayu dan dipinda sehingga cukup memuaskan hati untuk menggantikan Nobat Diraja”. Lagu Johor dimainkan semasa menyambut ketibaan jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar di Jeti Diraja Istana Besar pada tahun 1895. Pada tahun 1910, Hubert A Courtney, iaitu seorang pemuzik piano dan pengurus di Hong Kong and Shanghai Bank di Johor Bahru pada masa itu telah menulis lirik yang dipadankan daripada lagu Inggeris “God Save The King”. Lagu itu diubahsuai dan dinamakan Selamat Sultan. Pada tahun 1915, Mejar Dato’ Mohamad Said dibantu oleh Drum Mejar Abdul Rahim bin Abdul Karim menterjemahkan lirik itu ke dalam bahasa Melayu. Pada tahun 1915, Almarhum Sultan Ibrahim menamakannya Lagu Bangsa Johor sebagai menghormati dan memuliakan konsep Bangsa Johor yang diilhamkan oleh Baginda.