UUTKJ 1895 memperuntukan fasal untuk menentukan kerja raja berterusan dan tidak tergendala hendaklah diadakan Pangkuan Raja dalam keadaan berikut:
Fasal 9 (1)(i) memperuntukkan jika pada masa naik takhta Raja masih kecil dan belum cukup umur genap 21 tahun mengikut hitungan Hijriah, Jumaah Majlis DiRaja hendaklah melantik sebuah Jumaah Pangkuan Raja (Council of Regency) bagi menjalankan kerja-kerja Raja. Fasal 11D menetapkan Jumaah Pangkuan Raja mengandungi tiga ahli dari bangsa Melayu beragama Islam dan rakyat DYMM Tuanku, dengan syarat seorang yang menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Ahli Dewan Undangan Negeri tidak boleh dilantik menjadi Ahli Jumaah Pangkuan Raja.
Fasal 9(1)(b) memperuntukkan jika Jumaah Majlis DiRaja memasyhurkan dengan bertulis bahawa jumaah berpuas hati dengan keterangan pakar-pakar perubatan bahawa raja itu gering akal dan tubuh badan yang amat sangat hingga tidak boleh menjalankan kerja-kerja raja, Jumaah hendaklah melantik seorang Pemangku Raja (Regent) bagi menjalankan kerja-kerja raja.
Fasal 9(1)(c) dan (d) menetapkan jika raja gering yang tidak berat dan tidak merosakkan akal dan tubuh badan, atau jika raja tidak ada bersemayam dalam negeri, atau raja dipilih dan dilantik memegang jawatan Yang Dipertuan Agong atau sedang menjalankan kerja-kerja Yang Dipertuan Agong dalam tempoh lebih dari 15 hari, raja dengan mengikut nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis DiRaja boleh dengan tauliah yang ditandatangan olehnya dan dicap dengan mohor kerajaan melantik seorang Pemangku Raja.