Skip to main content

Waris

Bakal Raja

Fasal 1(b) mentafsirkan “Waris” bermakna orang yang telah dipilih dan dilantik menjadi bakal ganti Raja (Heir Apparent) mengikut syarat yang ditetapkan di bawah Fasal 7.

Fasal 1(d) mentafsirkan “Waris Yang Lain” ialah orang yang menyusul kemudian daripada Waris dan layak boleh mengambil tempatnya.

Fasal 7(2)(e) Bahagian Kedua memperuntukkan raja boleh melantik dan menggelar mana-mana kerabat sama ada yang jauh atau yang dekat sebagai ganti atau ganti-gantinya, seperti Raja Muda (Heir Presumptive), Bendahara, Temenggong dan gelaran lain yang dahulu telah biasa dipakai.

Fasal 3(3) Bahagian Pertama turut menetapkan tiada seorang pun dari zuriat keturunan raja boleh diperajakan jika ia ada mempunyai kecacatan yang besar-besar dan berat-berat yang menyalahi sifat-sifat raja seperti gila dan buta atau bisu atau mempunyai sifat-sifat keji yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak menjadi raja.

Pelantikan Waris dibuat mengikut Fasal 7(1), iaitu pada masa raja itu menaiki takhta atau dengan seberapa segera yang boleh selepas itu. Raja dengan kuasanya di bawah Fasal 7(2)(e) Bahagian Kedua dan dengan nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis DiRaja melantik seorang daripada zuriat keturunan raja sebagai Waris.

Fasal 7(3) menetapkan Waris itu selagi ia memegang jawatan itu bergelar “Tunku Mahkota Johor”. Fasal 4(2) menetapkan sekiranya Waris didapati oleh Jumaah Pangkuan Negeri tidak layak disahkan menjadi raja, maka Jumaah hendaklah melantik seorang daripada Waris Yang Lain menjadi Waris.

Senarai Waris Kesultanan Johor Moden

  • Tunku Ibrahim Iskandar Ibni Sultan Abu Bakar dilantik Waris dan Tunku Mahkota Johor pada 23 Mei 1891 ketika berusia 18 tahun.
  • Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dilantik sebagai Waris dan Tunku Mahkota Johor pada 2 November 1895 ketika berusia satu tahun.
  • Tunku Mahmood Iskandar Ibni Sultan Ismail dilantik sebagai Waris dan Tunku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 apabila Sultan Ismail menaiki takhta.
  • Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar dilantik Waris dan Tunku Mahkota Johor pada 12 Mei 1981 apabila Sultan Iskandar menaiki takhta.
  • Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dilantik Waris dan Tunku Mahkota Johor pada 28 Januari 2010 selepas Sultan Ibrahim menaiki takhta.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,
Tunku Mahkota Johor

Waris Kedua

WARIS KEDUA ditafsirkan sebagai orang yang menyusul kemudian daripada Waris, tertakluk kepada syarat-syarat di atas, dan layak mengambil tempatnya. Waris Kedua (Heir Presumptive) bergelar Raja Muda dilantik oleh Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja di bawah Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(1)(e) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar
Ibrahim Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor

Waris-waris yang Lain

Waris-waris yang Lain (Other Heirs) adalah orang yang menyusul kemudian daripada Waris, tertakluk kepada syarat-syarat yang sama, dan layak mengambil tempat Waris, mengikut susunan kekananan. Waris-waris yang lain bergelar BENDAHARA, TEMENGGONG, LAKSAMANA, PANGLIMA dan PUTERA dilantik oleh Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja di bawah Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(1)(e) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Fasal 7(2) (e) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor memberi kuasa kepada raja di atas budi bicara raja melantik dan menggelar daripada kerabat perempuan iaitu puteri, kekanda dan adinda perempuan akan gelaran yang pernah ada dan digunakan di Johor pada masa lalu, seperti Tunku Puteri, Tunku Besar, Tunku Tun, Enche’ Besar dan Che’ Puan.

Waris dan Waris yang Lain tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam kerajaan, melainkan apabila dititahkan oleh raja melalui Jumaah Majlis DiRaja.

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini