Skip to main content

Keselamatan

Sejarah Pasukan Polis Johor

Negeri Johor mula maju selepas peralihan kuasa daripada Sultan Ali Iskandar Shah kepada Dato’ Temenggong Ibrahim Sri Maharaja pada tahun 1855. Beberapa penempatan dan perkampungan dibuka termasuklah Iskandar Puteri.  Bilangan penduduk dan aktiviti sosial dan ekonomi semakin bertambah. Kawasan hutan belantara diteroka untuk mengeluarkan hasil hutan, diikuti dengan pembukaan kawasan untuk pertanian seperti tanaman lada hitam, gambir dan lain-lain. Masyarakat Cina dibenarkan membuka penempatan kangkar di tebing sungai dan menjalankan cara hidup mereka. Masyarakat Melayu menjalankan aktiviti harian sebagai nelayan dan petani. Kepesatan kemajuan ini berkehendakkan aspek keselamatan kepada penduduk. Pada 3 Oktober 1858, Temenggong Ibrahim menubuhkan Pasukan Pengamanan yang dikenali sebagai Pasukan Polis di Tanah Besar Johor bagi memberi perlindungan keselamatan, mengawal lalu lintas dan perdagangan di Johor serta menjaga keamanan di ladang lada hitam dan gambir.

Lambang Polis Johor. (Sumber : Polis Wanita, Sejarah Bergambar 1955-2007)

Pasukan polis yang berkhidmat untuk raja dinamakan Pasukan Setia di bawah perintah Mohamad Saleh bin Perang sebagai Pesuruhjaya Polis. Beliau dibantu oleh Ungku Sulaiman bin Daud sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis. Apabila Mohamad Saleh bin Perang dilantik sebagai Dato’ Bentara Luar pada tahun 1883, Maharaja Abu Bakar melantik Abdullah bin Tahir sebagai Pesuruhjaya Polis dengan gelaran Dato’ Sri Setia. Selain mengawal keselamatan, Pasukan Setia ditugaskan untuk mengeluarkan geran dan surat jual beli serta menyelesaikan selisih faham pekebun Cina. Pada tahun 1870, kanun atau undang-undang bagi Polis Johor menghuraikan tugas Jabatan Polis ketika itu. Pada tahun 1873, Jabatan Polis Johor diberi kuasa di bawah Undang-undang Kangcu yang meliputi permohonan menjadi Kangcu, menyelesaikan perselisihan faham, menempatkan seorang mata-mata di setiap Kangkar dan mengeluarkan permit untuk berhimpun. Pada tahun 1889, polis diberi tugas tambahan seperti menetapkan bayaran dan mengeluarkan lesen candu dan arak, sukatan cupak, nombor sempadan, nombor pukat ikan, pukat gambir lada dan perahu.

Sehingga tahun 1885, tidak terdapat pasukan tentera di Johor. Oleh itu, Pasukan Polis Johor telah memainkan peranan dari segi keamanan dan keselamatan negeri. Pada tahun 1879, telah timbul kekacauan di Jementah akibat tuntutan Tengku Alam, iaitu putera Sultan Ali Iskandar Shah ke atas takhta kerajaan Kesang. Mohamad Saleh Perang sebagai Pesuruhjaya Polis telah diperintahkan oleh Maharaja Abu Bakar untuk membantu Ungku Ahmad yang mengetuai pasukannya menentang Tengku Alam. Pasukan Polis membawa 400 laras senapang dan meriam. Peristiwa yang dikenali sebagai “Perang Jementah” berjaya diselesaikan dengan beberapa tangkapan ketua pemberontak.

Pasukan Polis Johor terus berkembang selari dengan pembangunan negeri. Sehingga tahun 1882, terdapat 21 buah rumah pasung di negeri Johor, termasuk di Muar, Batu Pahat, Endau, Kota Tinggi, Sedili, Kukup, Kluang, Mersing dan penempatan lain. Antara tahun 1858 hingga 1911, Polis Johor dianggotai oleh orang Melayu Johor. Sehingga tahun 1910, Pesuruhjaya Polis dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri dan merupakan pegawai kanan dalam birokrasi Kerajaan Johor. Pada tahun 1912, Polis Johor menempatkan tiga pegawai Inggeris dalam struktur hirarkinya tetapi tetap di bawah pengawasan pegawai Melayu. Dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, tugas dan tanggungjawab hal ehwal dalam negeri termasuklah keselamatan diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan. Sejarah Polis Johor adalah unik kerana dua orang mantan Pesuruhjaya Polis berjaya dalam kerjaya mereka sebagai Menteri Besar Johor, iaitu Dato’ Mohamed Mahbob (Menteri Besar Kedua) dan Dato’ Abdullah bin Jaafar (Menteri Besar Ketiga), manakala Dato’ Ismail Bachok menjadi Setiausaha Kerajaan.

Sejarah Askar Timbalan Setia Negeri Johor

Sultan Abu Bakar menyedari hakikat bahawa keselamatan negeri yang stabil membolehkan pembangunan negeri dilaksanakan dengan pesat. Persetiaan 11 Disember 1885 antara lain menyatakan bahawa kedua-dua Kerajaan British dan Kerajaan Johor hendaklah bekerjasama memelihara muhibah dan menjaga keselamatan terhadap rakyat dan penduduk di kawasan masing-masing di samping mempertahankan taklukan mereka daripada ancaman dan serangan luar. Berdasarkan Persetiaan ini, Sultan Abu Bakar mengambil ketetapan untuk menubuhkan pasukan tentera untuk mempertahankan kemerdekaan Johor, kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Pada awalnya pasukan ini diletakkan di bawah perintah Pesuruhjaya Polis, Abdullah Tahir untuk membantu dan mengimbangi tugas Pasukan Setia supaya dapat memberi perlindungan keselamatan dan menguatkuasa undang-undang di Johor. Dengan kesinambungan tugas-tugas keselamatan ini, wujudlah nama Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN).

Logo Askar Timbalan Setia Negeri Johor

Pada peringkat awal, ATSN dianggotai seramai 60 orang pemuda Melayu yang terdiri daripada anak-anak “orang dalam”, iaitu mereka yang tinggal di kawasan istana. ATSN ditugaskan mengawal istana selain membendung jenayah. Namun begitu, mereka menghadapi kesulitan daripada orang Melayu yang tidak takut akan arahan disebabkan pertalian saudara. Menyedari keadaan ini, Sultan Abu Bakar membawa masuk 20 orang Kabul dari Afghanistan yang termasyhur dengan keberanian dan terlatih sebagai sentri untuk menjalankan tugas sebagai pengawal istana. Pertambahan penduduk berkehendakkan penambahan anggota Melayu untuk dijadikan satu pasukan infantri.  Anggota sentri Kabul kekal sebagai pengawal istana dan ditambah lagi sentri Kabul yang cekap mengendalikan meriam sebagai pasukan artileri. Beberapa tahun kemudian, pasukan pancaragam yang dinamai Johor Band ditubuhkan. ATSN juga ditempatkan di daerah untuk membantu Pasukan Setia mengawal keselamatan. Nama ATSN yang mempunyai seramai 270 anggota pada tahun 1895 kekal sehingga tahun 1905 apabila Sultan Ibrahim memberi nama versi bahasa Inggeris, Johor Military Forces (JMF).

ATSN Kabul. (Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar)

Fungsi ATSN sekarang terhad kepada hal istiadat diraja Johor. Tugas utama ATSN adalah untuk menjaga keselamatan dan keselesaan DYMM Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Johor, Kerabat-kerabat Damping serta tetamu diraja. Tugas-tugas lain ATSN adalah mengawal semua istana raja, memberi khidmat sokongan yang berkaitan pengurusan istana dan mengendalikan segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak istana. Sebagai sebuah pasukan yang bertanggungjawab terhadap semua istiadat diraja, ATSN terlibat dalam perbarisan kehormat pada setiap istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku, istiadat kemahkotaan dan istiadat perasmian Persidangan Penggal Dewan Undangan Negeri Johor. ATSN juga menjadi pengawal, penjaga dan pengusung jenazah diraja semasa istiadat pemakaman.

Penglibatan ATSN Semasa Perang Dunia Pertama

Semasa berlakunya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, Sultan Ibrahim sebagai Kolonel Komandan telah menghantar satu kontinjen ATSN untuk mengawal kubu pertahanan British di Singapura, termasuklah kawasan Tanglin, St. John’s Island, Woodlands, Kranji, Seletar dan Pulau Belakang Mati. Pada 15 Februari 1915, seramai 199 anggota ATSN ditugaskan mengawal Tanglin Barracks yang menempatkan rakyat Jerman. Pada malam itu, 800 anggota Sepoy (anggota Islam dalam India’s Fifth Light Infantry) yang bimbang dan enggan dihantar untuk bertempur dengan anggota tentera Islam di Eropah dan Turki telah menderhaka dan menyerang Tanglin Barracks. Walaupun mempunyai bekalan peluru yang terhad, pegawai dan anggota ATSN yang penuh disiplin, ketabahan dan kecekapan berjaya mematahkan serangan tetapi mengorbankan pegawai pemerintahnya Kapten Cullimore, Kapten Abdul Jabbar bin Abdul Samad dan Prebet Yaacob bin Salleh.  Pada keesokan harinya, Sultan Ibrahim mengetuai kontinjen seramai 150 orang anggota ATSN bergegas ke Fort Canning, Singapura untuk memberi bantuan tetapi penderhaka telah melarikan diri ke Johor. Sultan Ibrahim berpatah balik untuk memburu dan memberkas mereka. ATSN berjaya memberkas 180 anggota Sepoy yang kemudian menyerah diri dengan meletakkan senjata api di kaki Sultan Ibrahim yang tidak bersenjata serta mencium tangan baginda.

Sultan Ibrahim mengetuai perarakan pasukan Askar Timbalan Setia Sempena Ulang Tahun King George V, 1920. (Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar)

Penglibatan ATSN Semasa Perang Dunia Kedua

Semasa Perang Dunia Kedua, ATSN mempunyai 2,000 anggota dan menjadikan Sultan Ibrahim mengetuai pasukan tentera bersenjata yang terbesar di Malaya. Kerajaan Johor bersetuju mengurniakan pangkat Mejar Jeneral kepada baginda. Baginda bersama-sama angkatan tentera Australia merancang menghantar pasukan ATSN untuk mempertahankan benteng Kluang-Mersing-Kahang dan Kota Tinggi serta landasan kapal terbang di Tanjung Labuh, Batu Pahat dan Kahang. Di samping itu, unit komunikasi ditempatkan di Tanjung Lompat, Kuala Sedili, Endau dan Rompin. Apabila tentera Jepun mengebom Kota Tinggi dan Johor Bahru pada 25 dan 27 Januari 1942, Sultan Ibrahim menerima nasihat daripada General Officer Commanding Malaya Leftenan, Jeneral Arthur Earnest Percival untuk membubarkan ATSN. Ini disebabkan tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu dan bergerak pantas ke selatan, manakala tentera Komanwel diarah berundur ke Singapura. Pada awalnya, Sultan Ibrahim enggan menerima nasihat itu tetapi akhirnya terpaksa membubarkan ATSN untuk menyelamatkan anggota dan keluarga mereka. Semua senjata api diserahkan kepada pasukan tentera Australia supaya tidak jatuh ke tangan musuh. Sultan Ibrahim mengakui anggota ATSN berat hati hendak berundur tetapi mereka menjunjung titah baginda untuk dibubarkan.

Selepas Perang Dunia Kedua

Penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 telah menghakis kuasa dan hak raja. Semua pegawai dan anggota ATSN ditamatkan perkhidmatan mulai 1 Julai 1946 dengan pampasan 5 bulan gaji. Hanya satu kompeni seramai 100 anggota sahaja yang dikekalkan. Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948, pasukan ini kekal seramai 100 orang yang dinamakan “Sultan’s Own Bodyguards” mendatangkan kemurkaan dan bantahan Sultan Ibrahim. Kerajaan Persekutuan akhirnya bersetuju mengekalkan pasukan ini sebagai ATSN dengan 128 anggota.

Sejarah berulang apabila Kerajaan Persekutuan membuat keputusan membubarkan ATSN berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993 untuk mengenepikan imuniti perundangan, menghakis kuasa dan hak istimewa Raja-raja Melayu. Satu rang undang-undang “Johor Military Forces (Pembubaran dan Pemansuhan) 1994” yang bertujuan menghakis kuasa Sultan Johor telah dibentang di Parlimen. Walau bagaimanapun, dengan pemikiran yang waras resolusi tersebut ditarik balik dan ATSN kekal sebagai ikon kedua Permata Johor.

Askar Timbalan Setia Negeri yang ditubuhkan pada tahun 1886 mendahului pasukan The Malay States Guides yang kemudiannya dinamakan Rejimen Askar Melayu DiRaja pada tahun 1933. Beberapa pegawai ATSN mengakhiri kerjaya mereka dengan dilantik dan memegang jawatan Menteri Besar Johor. Dato’ Abdullah bin Jaafar menyertai ATSN sebagai Kapten pada 22 Februari 1897 dan menjadi Menteri Besar yang ketiga.  Menteri Besar yang keempat ialah Dato’ Abdul Hamid bin Mustapha mula berkhidmat sebagai prebet dalam ATSN pada tahun 1892. Leftenan Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid dilantik Menteri Besar yang keenam dan Dato’ Onn bin Jaafar yang memulakan perkhidmatan sebagai sarjan ATSN dilantik Menteri Besar kelapan.  Sehingga sekarang, ATSN masih kekal relevan dan merupakan ikon Johor serta menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Johor Moden.

Kecemerlangan ATSN

Pada tahun 1906, ATSN diberi penghormatan mengambil bahagian dalam perarakan bersama-sama pasukan tentera British di Singapura dalam perayaan Sambutan Hari Keputeraan King George VI. Pasukan ATSN diketuai oleh Almarhum Sultan Ibrahim yang menunggang kuda.

Pada 3 Ogos 1940, Pegawai ATSN Raja Ahmad bin Raja Ali, Tengku Abdul Jalil bin Mohd Nor, Yahya bin Yusof dan Ibrahim bin Ahmad merupakan kumpulan pegawai pertama dihantar untuk latihan tentera di Indian Military Academy, Dehra Dun. Mereka kembali ke Johor apabila tentera Jepun menceroboh Tanah Melayu.

Pada tahun 1941, Pegawai Kadet Ibrahim Ismail, Ungku Ahmad bin Abdul Rahman dan Hussein Onn dihantar berlatih di Indian Military Academy, Dehra Dun. Latihan mereka disingkatkan disebabkan serangan Jepun di Tanah Melayu dan mereka ditempatkan dalam pasukan tentera India.

Pada tahun 1946, Kapten Abdul Jabar bin Jaafar, Kompeni Sarjan-Mejar Othman bin Daud, Koperal Ali bin Awang, Lans Koperal Ahmad bin Abdullah dan Prebet Othman bin Ibrahim dihantar menyertai Pasukan Malaya dalam Victory Parade di London menandakan kemenangan Perang Dunia Kedua.

Penubuhan ATSN menjadikan Johor sebagai negeri pertama mengadakan pasukan bersenjata dan kekal relevan sehingga kini. Bermula dengan 60 anggota pemuda lelaki Melayu, pasukan ini bertambah kuat dengan kemasukan anggota dari Kabul. Pasukan ini diberi nama Askar Timbalan Setia Negeri yang bertanggungjawab bersama-sama pasukan polis untuk menjaga keselamatan kepada rakyat Johor. Sultan Ibrahim menambahkan kekuatan ATSN dengan mengadakan pasukan artileri, infantri dan pasukan pancaragam. Pasukan ATSN juga dikenali sebagai Johor Military Forces (JMF).

Koleksi gambar ATSN Johor

Pasukan Voluntera Johor (JVF)

Sultan Ibrahim menubuhkan Pasukan Voluntera Johor (JVF) pada 22 Mei 1905 dengan melatih orang Melayu bagi mengisi jawatan kerajaan. Baginda menggubal satu rancangan yang membolehkan pegawai Melayu diberi latihan ketenteraan. Baginda berpendapat latihan ketenteraan boleh membina disiplin dan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti. Anggota JVF yang cemerlang dipinjamkan kepada ATSN untuk mendapat latihan lanjutan. Beberapa pegawai ATSN dipinjamkan ke JVF sebagai pengajar. Sistem pertukaran sementara ini berjaya melahirkan pegawai yang berwibawa dan menambah baik kepimpinan kerajaan.

Antara anggota JVF ialah Tunku Mahkota Tunku Ismail, Tunku Aris Bendahara Tunku Abu Bakar dan Tunku Temenggong Ahmad. Pegawai-pegawai Melayu yang menjalani latihan ATSN dan JVF ialah:

  • Dato’ Abdullah bin Jaafar yang kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Muar sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ketiga (1926-1928).
  • Dato’ Abdul Hamid bin Yusof yang menjalani latihan daripada pangkat prebet pada tahun 1892 sehingga mencapai pangkat Leftenan Kolonel dan dilantik sebagai Ahli Jumaah Menteri dan Menteri Besar Johor yang kelima (1931-1934).
  • Ungku Abdul Aziz Ibni Ungku Abdul Majid dilantik sebagai Pegawai Pemerintah JVF pada tahun 1923 dan sebagai Menteri Besar Johor yang keenam pada tahun 1935.
  • Dato’ Onn Jaafar pegawai JMF/JVF dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ketujuh.
  • Pegawai Melayu lain yang menjalani latihan ATSN dan JVF termasuklah Tun Hussein Onn dan Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail.

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini