Skip to main content

Sejarah Johor Moden

Sejarah Johor Moden

Hasil daripada Perjanjian Setia yang dimeterai pada 10 Mac 1855, bermulalah era Kesultanan Johor Moden dalam pemerintahan yang meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan kepimpinan serta dedikasi pemerintahan yang telah mencorakkan sejarah Johor yang tersendiri. Dengan kewibawaan dan kebijaksanaan, Kesultanan Johor Moden telah berjaya memerintah dengan adil dan saksama melalui konsep rakyat didahulukan, tidak ada kaum yang dipinggirkan serta mengamalkan sikap toleransi agama, bangsa dan budaya.

Kesultanan Johor Moden turut berjaya membangunkan jati diri yang unggul serta menzahirkan karisma tersendiri yang diterjemahkan kepada kedaulatan, iaitu nilai murni intrinsik yang menggambarkan raja memerintah dengan adil dan saksama. Rakyat pula memandang tinggi dan mulia kepada institusi raja sebagai pancuran keadilan dan belas kasihan yang melindungi mereka.

Potret Dato' Temenggong Tun Daeng Ibrahim bin Daeng Abdul Rahman. (Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar)

Dato' Onn bin Jaafar (Menteri Besar Johor Ke-7). (Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar)

Di bawah kepimpinan raja yang unggul, rakyat telah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi serta membina jati diri, keberanian, disiplin dan maruah yang mantap untuk bersama-sama mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negeri di samping membangunkan negeri Johor.

Nilai-nilai kemanusiaan ini diperkasakan lagi pada zaman pemerintahan Kesultanan Johor Moden. Kewibawaan dan wawasan kepimpinannya yang jitu mendahului negeri-negeri lain dalam semua bidang termasuk pentadbiran dan pengurusan, reformasi dalaman, inovasi fizikal serta memperkenalkan Johor di persada global. Faktor-faktor ini menyumbang kepada ungkapan “Kesombongan Johor” yang diutarakan oleh Dato’ Onn Jaafar yang bermaksud rakyat Johor berasa megah dan bangga atas ketrampilan kepimpinan raja memajukan negeri dan rakyat.

Ketabahan, keberanian dan jati diri raja dan rakyat Johor terserlah apabila Temenggong Ibrahim dan pengikutnya meneroka hutan belantara tanah besar Johor yang pada masa itu mempunyai potensi ekonomi untuk dimajukan. Tanpa menghiraukan keselamatan daripada ancaman binatang buas dan bahaya lain, mereka mengeluarkan hasil hutan seperti kayu-kayan, damar, madu lebah, buah-buahan dan getah taban untuk dijadikan barangan pertukaran dan perdagangan.

Keberanian mereka dihargai oleh Sultan Abu Bakar yang menterjemahkannya dengan warna merah pada bendera Johor. Sifat dan semangat berani dan tabah serta bertawakal kepada Allah S.W.T. yang diwarisi Kesultanan Johor Moden terus ditanam disanubari Sultan Sir Ibrahim yang berhadapan tanpa bersenjata dengan anggota tentera Sepoy yang menderhaka dan melarikan diri dari Singapura ke Johor pada tahun 1911. Baginda juga menunjukkan keberanian dengan menembak beberapa ekor harimau secara berhadapan sebelum binatang buas itu menerkam.

DYMM Sultan Ibrahim pula membuktikan keberanian dan kecekalan dengan membuat 19 kali penerjunan payung terjun semasa menjalani latihan lasak ketenteraan. Kecekapan mentadbir dan membuat keputusan pada waktu genting dilambangkan dengan ketajaman bintang pada bendera Johor.

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini