Istana merupakan sebuah bangunan mewah yang dibina khas dan dilengkapi segala kemudahan setaraf dengan status raja dan sesuai dijadikan kediaman raja bersemayam. Istana melambangkan kebesaran dan keagungan raja serta mencerminkan kedaulatan raja memerintah. Istana juga merupakan simbol perpaduan raja dengan rakyat dan menandakan kegemilangan pemerintahan raja. Istana Kesultanan Johor dibina berdekatan atau di kawasan yang didiami rakyat bagi memudahkan raja mendekati rakyat dan sebaliknya. Menjadi satu penghormatan dan kemuliaan bagi rakyat yang berkhidmat dengan raja di dalam istana atau di kawasan istana. Mereka digelar “orang dalam” dan membantu Raja dalam hal kehidupan harian.
Istana
Istana
Untuk mengelakkan kekeliruan terhadap status istana, pada tahun 2012 DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa bangunan tempat raja bersemayam sahaja yang diiktiraf dan digelar sebagai istana. Bangunan lain yang menempatkan kerabat raja yang memerintah digelar kediaman. Titah ini dibuat disebabkan istana dan kawasannya di negeri Johor disenaraikan dan termasuk sebagai Hak Kesultanan (Sultanate Property), iaitu milik Kerajaan Negeri Johor dan dikhaskan untuk kegunaan raja yang memerintah dan raja seterusnya. Istana tidak boleh dilupuskan atau dipindah milik oleh mana-mana pihak dengan apa cara pun. Kerajaan Negeri bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan istana.
Istana Temenggong, Singapura
Pada tahun 1815, Temenggong Abdul Rahman membuka sebuah penempatan Kampung Temenggong di tebing Sungai Singapura. Selepas pelantikan Tengku Husin sebagai Sultan Johor dan Temenggong Abdul Rahman sebagai pemerintah Singapura, Kerajaan British memindahkan Sultan Husin dari Kampung Temenggong ke Kampung Gelam pada tahun 1820. Temenggong menangguhkan perpindahan ke Telok Belanga sehingga 14 Mac 1824, selepas British bersetuju membayar ganti rugi serta membina kediaman dan menyediakan kemudahan asas untuk pengikutnya. Sebuah istana dibina di Bukit Aur dikenali sebagai Istana Temenggong atau Istana Bukit Aur yang dilengkapi sebuah Balai Rong Seri berbentuk lapan segi sebagai balai menghadap dan mesyuarat. Temenggong Ibrahim menjadikan balai itu sebagai masjid. Pada tahun 1989, Sultan Iskandar bertitah masjid itu dibina semula dengan dikekalkan reka bentuk asal dan dinamakan Masjid Temenggong Ibrahim.
Temenggong Ibrahim ditabalkan sebagai Temenggong Johor di Istana Temenggong pada 19 Ogos 1841. Tun Abu Bakar diputerakan pada 3 Februari 1833 di Istana Temenggong dan menaiki takhta kerajaan sebagai Dato’ Sri Maharaja Johor pada tahun 1862. Pada 15 Ogos 1864, pihak Inggeris mengurniakan tanah di kawasan Telok Belanga dengan hak milik kekal 999 tahun Government Lease Lot No. 1, Lease No. 69 Registration No. 2118 kepada Maharaja Abu Bakar. Sehingga kini, kawasan tanah itu adalah milik Johor dan bendera Johor dikibarkan dengan megah di Masjid Temenggong Ibrahim. Semua staf masjid berkhidmat dengan Kerajaan Johor. Khutbah Jumaat dan Doa Sultan disediakan oleh Jabatan Mufti Johor. Temenggong Abdul Rahman, Temenggong Ibrahim dan kerabat-kerabat lain dimakamkan di Makam Temenggong di Telok Belanga.
Istana Bidadari, Singapura
Pada tahun 1869, Sultan Abu Bakar membeli sebuah kediaman dan 45 ekar tanah di Estate Bidadari di Serangoon, Singapura daripada rakan karibnya, Henry Minchin Simmons. Kediaman itu dinamakan Istana Bidadari tempat bersemayam suri Baginda Enche’ Besar Zubaidah bte Abdullah (nama asal ialah Cecilia Catherina Lange sebelum memeluk agama Islam dan bernikah dengan Maharaja Abu Bakar pada tahun 1868). Enche’ Besar Zubaidah ialah anak perempuan kepada Mads Lange, iaitu seorang bangsawan dan pedagang bangsa Dane yang menjalankan perniagaan di Bali dan isterinya Nonya Teh Sang Nio anak Kapitan Cina Bali.
Nama asal Bidadari tidak jelas diketahui dan sukar disahkan. Dipercayai terdapat sebuah kolam di situ yang kononnya tempat mandi-manda pari-pari. Ada pihak berpendapat kecantikan dan perwatakan Enche’ Besar Zubaidah menyerupai seorang bidadari. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang puteri, Tunku Mariam (1871) dan seorang putera, Tunku Ibrahim (1873).
Pada tahun 1905, Kerajaan Singapura mengambil balik keseluruhan Estate Bidadari dengan bayaran ganti rugi $2,500 seekar. Kawasan tersebut dijadikan tanah perkuburan yang berasingan bagi orang Islam, Kristian, Hindu dan Singhalese. Sekarang kawasan itu telah dimajukan secara komersial.
Istana Tyersall, Singapura
Sultan Abu Bakar membeli hartanah seluas 67 ekar di Tanglin, Singapura daripada William Napier pada tahun 1884. Sebuah kediaman dibina dinamakan “Tyersall” pada tahun 1854. Kediaman itu dijadikan tempat bersemayam Maharani Fatimah. Sultan Abu Bakar bernikah dengan Che’ Puan Fatimah binti Abdullah (nama asal Wong Ah Gew sebelum memeluk agama Islam) pada tahun 1884. Pada tahun 1890, Sultan Abu Bakar merobohkan bangunan lama dan membina sebuah istana mengikut ciri kediaman mewah Eropah dan mengekalkan nama Tyersall. Arkitek bangunan ialah Dato’ Yahya Awaluddin, seorang ahli Majlis Jumaah Menteri. Pemborong binaan ialah Wong Ah Fook. Istana siap dibina pada tahun 1892, setahun selepas kemangkatan Sultanah Fatimah. Pembukaan rasmi Istana Tyersall disempurnakan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi pada 3 Disember 1892.
Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar membuat wasiat supaya Tyersall dijadikan harta Kerajaan Johor untuk kegunaan waris dan pengganti Baginda. Istana Tyersall musnah terbakar pada 10 September 1905 disebabkan litar pintas elektrik. Pada tahun 1990, Kerajaan Singapura mengambil balik sebahagian tanah dengan bayaran ganti rugi $25 juta kepada Sultan Iskandar. Pada tahun 2006, Sultan Iskandar mengurniakan seluruh kawasan Tyersall kepada cucunda Baginda Tunku Ismail Ibni Tunku Ibrahim, Raja Muda Johor (sekarang Tunku Mahkota Johor).
Istana Woodneuk, Singapura
Pada tahun 1860, Sultan Abu Bakar membeli sebuah kediaman Woodneuk House dan tanah seluas 30 ekar di Tanglin, Singapura berdekatan Istana Tyersall daripada Captain John Dill Ross. Istana Woodneuk dijadikan kediaman rasmi Sultanah Khatijah. Sultan Abu Bakar bernikah dengan Che’ Puan Khatijah Hanum, iaitu seorang bangsawan Turki pada 22 September 1893 di Istanbul, dua tahun selepas kemangkatan Sultanah Fatimah. Pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar mewasiatkan Istana Woodneuk kepada Sultanah Khatijah.
Sultan Ibrahim membeli Istana tersebut daripada Sultanah Khatijah sebelum Sultanah Khatijah mangkat pada 1 Februari 1904. Sultan Ibrahim membaik pulih Istana Woodneuk dengan hasil ladang getah di Pasir Pelangi dan Tasik Utara. Semasa Perang Dunia Kedua, tentera British mendirikan ibu pejabatnya di Woodneuk dan hospital medan tentera India di kawasan istana. Pada Februari 1942, khemah dan hospital musnah akibat dibom tentera udara Jepun. Selepas perang, istana tersebut dipulihara semula dan disewakan kepada Kerajaan Singapura untuk pegawai tinggi British. Almarhum Sultan Iskandar yang memiliki istana itu melalui wasiat Sultan Ibrahim mengurniakan Istana Woodneuk dan kawasannya kepada DYAM Raja Muda Tunku Ismail (sekarang Tunku Mahkota Johor).
Istana Besar, Johor Bahru
Sultan Abu Bakar berhasrat mengadakan suatu tanda yang melambangkan kedaulatan Baginda di Johor. Baginda membina sebuah istana yang mempunyai reka bentuk yang sesuai dengan kedaulatan dan kuasa pemerintahan Baginda. Istana itu hendaklah lebih besar dan lebih indah daripada kediaman Gabenor British di Singapura. Baginda memilih sebuah kawasan strategik di Bukit Bintang yang berhadapan Selat Johor. Istana Besar dikelilingi kebun botani seluas 300 ekar.
Pembinaan Istana Besar bermula pada tahun 1864. Pemborongnya ialah Wong Ah Fook dan kerja-kerja diselia oleh Dato’ Yahya Awaluddin, jurutera, arkitek dan ahli Majlis Jumaah Menteri. Reka bentuk Istana Besar ialah “Anglo Indian in build, in style renaissance” (Florence Caddy). Jubin yang digunakan diimport dari Eropah, batu marmar lantai dari Itali, genting dari China, batu pejal dari Pulau Ubin, batu bata dari Singapura dan kayu jati dari Johor. Istana Besar siap dibina dalam tempoh dua tahun dan dibuka pada 1 Januari 1866, iaitu sama tarikh dengan penamaan semula Iskandar Puteri kepada Johor Bahru.
Istana Besar (The Grand Palace), Johor Bahru
Istana Besar tidak dijadikan istana persemayaman Baginda. Ia digunakan sebagai Balai Menghadap dan tempat persemayaman raja yang melawat Johor. Untuk tujuan politik dan memperkenalkan Johor di persada dunia dan mengukuhkan perdagangan antarabangsa, Sultan Abu Bakar telah mengadakan enam lawatan ke England, negara-negara Eropah, Turki dan dua lawatan ke Timur Jauh termasuklah Jepun. Bagi tujuan menjalin hubungan diplomatik dengan kerabat diraja asing, Sultan Abu Bakar mengundang mereka melawat Johor untuk melihat sendiri kemajuan Johor.
Antara kerabat diraja yang menginap di Istana besar ialah:
- 1869 – Duke of Edinburgh.
- 1871 – Russian Grand Duke.
- 1880 – Prince Henry of Prussia.
- 1881 – King David Kalakua of Hawaii.
- 1882 – Prince Albert Victoria dan Prince George of Wales.
- 1907 – Duke of Connaught.
- 1924 – King Rama of Siam.
- 1929 – Marquis Tokugawa of Japan.
Pada tahun 1868, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah dan Ukur, Pejabat Kastam dan Pejabat Pelajaran adalah antara pejabat kerajaan yang dipindahkan ke Istana Besar sebagai menzahirkan ungkapan “Istana itu Kerajaan dan Kerajaan itu Istana”.
Istana Besar menyaksikan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Johor dan negara. Kemahkotaan Sultan Abu Bakar pada 29 Julai 1886 mencatat sejarah negara sebagai Raja Melayu pertama dimahkotakan. Kemahkotaan Sultan Ibrahim dan Tunku Ampuan Maimunah diadakan pada 2 November 1895. Kemahkotaan Sultan Ismail dan Sultanah Aminah diadakan pada 10 Februari 1960, dan Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim dan DYMM Raja Zarith Sofiah Permaisuri Johor pada 23 Mac 2015.
Kongres Melayu ketiga diadakan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar dan dirasmikan oleh Pemangku Raja Tunku Mahkota Tunku Ismail. Mesyuarat ini menyaksikan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO (United Malays National Organization). Pada tahun 1988, Sultan Iskandar bertitah supaya Istana Besar dijadikan Muzium DiRaja Abu Bakar yang menyimpan dan mempamerkan artifak sejarah Kesultanan Johor Moden.
Istana Tanjung, Muar
Pada tahun 1884, Sultan Abu Bakar membina Istana Tanjung di Tanjung Ketapang, Muar. Pada tahun 1886, pasukan Askar Timbalan Setia Negeri ditempatkan di kawasan istana untuk membantu pasukan polis mengawal keselamatan di Muar. Baginda berhasrat menjadikan bandar Muar sebagai contoh kepada British tentang kebolehan dan kecekapan Baginda membangunkan dan mentadbir Johor. Pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar menyambut Hari Kerajaan di Istana Tanjung. Istana Tanjung terletak di kawasan berpaya dan tidak sesuai didiami dari segi kesihatan. Pada tahun 1897, Sultan Ibrahim membina sebuah istana di Jalan Petrie dan mengekalkan nama Istana Tanjung. Pada tahun 1968, Sultan Ismail merobohkan bangunan tersebut dan membina semula Istana Tanjung baharu di tapak yang ada sekarang.
Istana Menara Empat, Johor Bahru
Sultan Abu Bakar membina sebuah istana di atas Bukit Sri Manggis berhadapan tambatan Jabatan Laut di Jalan Sekudai (sekarang Persiaran Abu Bakar). Istana tersebut dipadankan dengan Hardwick Castle di London yang dinamakan Istana Menara Empat atau Istana Tambatan, Istana Pantai atau Istana Laut. Pada tahun 1892, Sultan Abu Bakar memindahkan semua pejabat kerajaan kecuali pejabat perbendaharaan dari Istana Besar ke Istana Menara Empat. Istana tersebut dijadikan sekolah English College Boarding School sehingga tahun 1913. Istana itu musnah terbakar pada tahun 1913. Pada tahun 1950-an, sebuah hotel The Straits View Hotel dibina di tapak istana itu.
Istana Zahrah, Johor Bahru
Pada tahun 1886, Sultan Abu Bakar membina tiga buah istana di kawasan Kebun Bunga Istana Besar. Salah sebuah istana tersebut dinamakan Istana Zahrah bagi memuliakan adinda Baginda Ungku Zahrah binti Temenggong Daeng Ibrahim. Istana tersebut mengandungi sebuah Balai Menghadap (Balai Zahrah) yang mempunyai reka bentuk mirip bunga cengkih dan dilengkapi ukiran daun dan bunga cengkih di dinding. Oleh itu, Balai Menghadap tersebut dikenali sebagai Balai Cengkih.
Sultan Abu Bakar berpindah dari Istana Tyersall dan bersemayam di Istana Zahrah pada 27 Mei 1889. Che’ Puan Khatijah Hanum dimahkotakan dan diberi gelaran Sultanah Khatijah pada 28 Februari 1894 di Balai Cengkih. Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor di Balai Cengkih pada 7 September 1895. Pada tahun 1913, Istana Zahrah digunakan sebagai Bukit Zahrah English School. Pada tahun 1970-an, bangunan itu digunakan sebagai Sekolah Agama Bukit Zahrah tetapi telah ditutup. Kini, Istana Zahrah dalam fasa pemuliharaan.
Istana Semayam dan Istana Marbal, Johor Bahru
Dua buah lagi istana dibina di kawasan Kebun Bunga Istana Besar, iaitu Istana Persemayaman (Istana Semayam) dan Istana Marbal. Kedua-dua istana dibangunkan oleh Wong Ah Fook. Reka bentuk Istana Semayam disediakan oleh Dato’ Yahya Awaluddin. Reka bentuk Istana Marbal dipadankan daripada Marlborough House di London. Namanya dipendekkan kepada Marbal sesuai dengan sebutan Melayu. Istana ini bukan dibina daripada batu marmar (marble). Almarhum Sultan Ismail diputerakan di Istana Semayam pada 28 Oktober 1894. Almarhum Sultan Iskandar diputerakan di Istana Semayam pada 8 April 1932. Istana tersebut musnah terbakar pada tahun 1942 yang dipercayai akibat tembakan meriam tentera Bersekutu dari Singapura. Istana Marbal dijadikan kediaman rasmi Tunku Aris Bendahara Tunku Abu Bakar, iaitu anakanda kedua Sultan Ibrahim.
Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru
Pada tahun 1898, Sultan Ibrahim membuka ladang tenusu di sebelah timur bandar Johor Bahru. Semasa perasmian ladang tersebut tiba-tiba muncul pelangi di langit. Justeru Baginda menamakan ladang itu Pasir Pelangi. Baginda telah menggantikan tanaman pokok renek yang mengeluarkan getah taban (gutta percha) dengan tanaman pokok getah Brazil seluas 1,000 ekar yang dinamakan Pelangi Estate. Daripada hasil getah, Istana Pasir Pelangi dibangunkan pada tahun 1911 yang dilengkapi kandang kuda dan garaj untuk kenderaan bermotor. Baginda juga membina Masjid Pasir Pelangi pada tahun 1912 dan mewakafkan masjid itu kepada Pejabat Agama.
Istana Bukit Serene, Johor Bahru
Pada tahun 1935, Sultan Ibrahim dan Sultanah Helen memilih sebuah kawasan di atas bukit menghadap Selat Johor untuk dibina sebuah istana. Frank W. Brewer, seorang arkitek menyediakan pelan reka bentuk istana. Sultanah Helen amat suka dan tertarik dengan keadaan dan suasana tempat yang tenteram dan nyaman (serene). Oleh sebab itu, istana yang dibina dinamakan Istana Bukit Serene. Rupa bentuk Istana Bukit Serene dipadankan daripada binaan kediaman Inggeris Cornish Manor dengan tembok dinding daripada rough granite rubble dan bumbung curam menggunakan genting warna hijau dari Belanda.
Istana Bukit Serene terletak di kawasan kebun botani yang seluas 250 ekar. Bangunan dua tingkat mengandungi dua bilik beradu dan tiga bilik tidur lain untuk keluarga, bilik rehat, bilik makan, dapur elektrik dan lain-lain. Terdapat sebuah kolam renang mirip gaya Sepanyol di sebelah utara bangunan tersebut. Sebuah menara 35 meter tinggi dibina untuk menempatkan tangki air di sebelah timur bangunan.
Istana Bukit Serene dibina dengan perbelanjaan $600,000 dan siap pada tahun 1937. Kerajaan Johor menghadiahkan Istana Bukit Serene kepada Sultan Ibrahim sempena 40 tahun baginda menaiki takhta kerajaan. Semasa Perang Dunia Kedua, pegawai pemerintah tentera Jepun, Lt. Gen. Tomoyuki Yamashita dengan kebenaran Sultan Ibrahim menjadikan Istana Bukit Serene sebagai ibu pejabat. Menara tangki air dijadikan menara peninjau untuk mengintip pergerakan tentera Australia di Singapura. Istana Bukit Serene ialah istana persemayaman rasmi Sultan Johor.
Rumah Tempat Datang Datang
(Istana Batu Pahat)
Semasa mengadakan lawatan ke Batu Pahat pada tahun 1911, Sultan Ibrahim bertitah supaya sebuah rumah dibina di kaki Gunung Banang untuk digunakan ketika berangkat ke daerah itu. Rumah tersebut dikenali sebagai Rumah Tempat Datang-Datang atau lebih mesra sebagai Istana Batu Pahat. Di kawasan itu juga dibina rumah kediaman Pesuruhjaya Negeri sebagai Wakil Raja dan berek Askar Timbalan Setia Negeri. Pada tahun 2015, DYMM Sultan Ibrahim bertitah supaya istana tersebut diubah suai dan dibina semula dengan mengekalkan reka bentuk asal. Baginda juga bertitah agar nama Rumah Tempat Datang-Datang dikekalkan.
Rumah Tempat Datang-Datang (Istana Batu Pahat)
Istana Shooting Box, Segamat
Almarhum Sultan Ibrahim gemar memburu binatang liar (big game) seperti gajah, harimau, seladang, badak dan beruang. Binatang yang diburu ialah binatang yang mengganas, merosakkan tanaman dan mengancam nyawa manusia. Harimau yang pertama diburu dan ditembak ialah pada tahun 1898. Sehingga tahun 1927, Baginda telah menembak mati 35 ekor harimau. Baginda mempunyai keberanian dan cara tersendiri memburu harimau, iaitu secara berhadapan dan menembak apabila harimau menerkam.
Semasa memburu di Segamat pada tahun 1912, Baginda bertitah supaya dibina sebuah kediaman untuk Baginda berehat dan bermalam selepas berburu. Bangunan ini dinamakan Istana Shooting Box. Istana ini masih dijadikan tempat bersemayam apabila Baginda berangkat ke Segamat.
Istana Sunnyside, Johor Bahru
Pada tahun 1905, Almarhum Sultan Ibrahim membuka ladang getah seluas 1,500 ekar di Tasik Utara, Johor Bahru yang meliputi kawasan Ulu Ayer Molek, Tasik Utara dan Larkin. Baginda membina sebuah istana di Jalan Ayer Molek untuk mengurus ladang tersebut. Istana tersebut dinamakan Istana Ulu Ayer Molek atau Istana Tasek Utara. Selepas bonda Baginda Enche’ Besar Zubaidah berpindah dari Istana Bidadari, Singapura dan bersemayam di situ, nama istana ditukar kepada Istana Sunnyside. Enche’ Besar Zubaidah mangkat pada 2 Jun 1936 semasa berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah. Pada tahun 1960-an, istana itu diserahkan kepada kerajaan negeri dan dijadikan Pejabat Pelajaran dan Pejabat Belia. Kini tapaknya didirikan bangunan Perpustakaan Awam Negeri Johor.
Istana Mustika Embun, Johor Bahru
Pada 14 September 1897, Almarhum Sultan Ibrahim melangsungkan perkahwinan kekandanya, Tunku Puan Besar Mariam, puteri sulung Sultan Abu Bakar dengan Tunku Besar Mahmood, kerabat Pahang. Majlis diadakan di Istana Zahrah. Tunku Besar Mahmood dilantik sebagai Sultan Pahang selepas ayahandanya mangkat. Tunku Mariam menjadi Sultanah Pahang dan digelar Tengku Ampuan Pahang. Selepas tiga tahun, Sultan Mahmood mangkat dan digantikan dengan adindanya Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang. Sultan Ibrahim menjemput kekandanya berangkat balik ke Johor.
Pada tahun 1910, Sultan Ibrahim membeli kediaman rasmi Dato’ Sri Amar Diraja Abdul Rahman Andak di Bukit Sri Lalang. Pada masa itu, Dato’ Abdul Rahman Andak telah berpindah ke London. Rumah tersebut dijadikan kediaman rasmi Tunku Ampuan Mariam dan dinamakan Istana Mustika Embun (The Palace of the Morning Dew). Selepas kemangkatan Tunku Mariam, istana dan kawasannya diwakafkan khususnya untuk pelajar perempuan Islam Kolej Tunku Ampuan Mariam.
Istana Bukit Coombe, Johor Bahru
Pada tahun 1937, Sultan Ibrahim membina beberapa buah rumah kediaman di Straits View, Bukit Jepun dan Coombe Hill dengan reka bentuk kediaman Belanda. Tiga buah rumah dibina di Bukit Coombe di persimpangan Jalan Gereja, Jalan Abdul Rahman Andak dan berhadapan gereja Katolik. Semasa Perang Dunia Kedua, ketiga-tiga bangunan tersebut digunakan sebagai Ibu Pejabat Kempeitai Tentera Jepun.
Pada awal tahun 1960-an, bangunan tersebut dijadikan kediaman rasmi DYAM Tunku Mahmood Iskandar, Raja Muda Johor dan dikenali sebagai Istana Bukit Coombe. Apabila Tunku Mahmood menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada tahun 1982, Baginda kekal bersemayam di sana dan ditukar nama kepada Istana Bukit Iskandar. Terdapat cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai zon komersial. Beberapa tahun kemudian selepas baginda bersemayam di Istana Bukit Serene, ketiga-tiga buah bangunan tersebut telah dirobohkan.
Istana Bukit Stulang, Johor Bahru
Pada tahun 1938, Sultan Ibrahim membina sebuah istana di atas 10 ekar tanah di Bukit Stulang dengan perbelanjaan $400,000. Lokasi ini dipilih kerana Bukit Stulang berdekatan Tanjung Puteri yang merupakan tempat Temenggong Ibrahim mendarat. Di sini bermula kedaulatan Johor berpindah kepada Temenggong Ibrahim pada tahun 1855. Istana tersebut dijadikan kediaman rasmi Tunku Mahkota Tunku Ismail.
Antara peristiwa di istana ini:
- 1956- Istiadat perkahwinan Tunku Mahkota Tunku Mahmood dengan Che’ Puan Khalsom binti Abdullah (Josephine Ruby Treverrow).
- 1958 – Istiadat perkahwinan Tunku Maimunah dengan Tunku Osman Ahmad.
Pada tahun 1970-1986, istana ini pernah disewa oleh Kerajaan Johor untuk dijadikan tempat persemayaman rasmi Yang Dipertuan Agong (Sultan Kedah, Sultan Terengganu, Sultan Pahang) ketika berangkat ke Johor. Istana ini juga dijadikan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia (Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir). Selepas kemangkatan Sultan Ismail, istana itu diwarisi Sultan Iskandar yang kemudiannya dipindah milik kepada Tunku Tun Maimunah.
Istana Polo, Johor Bahru
Sukan berkuda polo diasaskan oleh Sultan Ibrahim pada tahun 1920 apabila Baginda menubuhkan The Royal Johor Polo Club. Sebuah bangunan kelab didirikan di kawasan Pasir Pelangi yang dinamai The Pavilion dan kemudian dipinda kepada The Johor International Club.
Pada tahun 1979, Sultan Ismail membina sebuah istana yang bersebelahan dengan bangunan kelab tersebut dan dinamakan Istana Polo. Pada tahun 1987, Presiden Suharto sebagai tetamu kerajaan telah menginap di istana tersebut. Istana Polo sekarang dijadikan tempat persemayaman Raja-raja Melayu apabila berangkat ke Johor.