Temenggong Ibrahim dan kemudiannya Sultan Abu Bakar menjemput penduduk dari kepulauan Jawa, negeri-negeri Tanah Melayu, negara China, India dan Sri Lanka untuk bermastautin dan bersama-sama membangunkan Johor. Sebagai tarikan, mereka diberi kebebasan untuk menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan serta mengamalkan kepercayaan agama dan budaya masing-masing.
Ekonomi
Pentadbiran Permulaan Ekonomi
Penubuhan Sistem Kangcu
Kaum Cina mula berpindah dari Singapura dan masuk ke Johor pada tahun 1840 akibat kekurangan kawasan yang sesuai untuk pertanian secara komersial. Selain itu, mereka juga melarikan diri daripada ancaman kongsi gelap, pengaruh candu dan aktiviti haram. Mereka dibenarkan membuka penempatan di tebing sungai yang dinamakan Kangkar dan ditadbir oleh seorang ketua yang bergelar Kangcu.
Penempatan Sistem Kangcu yang pertama ialah Kangkar Sekudai. Sehingga tahun 1920, terdapat 29 Kangkar di tebing sungai di Johor. Sebagai tanda jaminan pegangan, mereka dikurnia hak milik melalui Surat Sungai. Temenggong Ibrahim dan Sultan Abu Bakar dengan kerjasama orang Cina mengusahakan tanaman komersial lada hitam dan gambir sehinggakan perniagaan komoditi tersebut menguasai perniagaan antarabangsa.
Komoditi gambir (Uncaria gambiar) dan lada hitam (Piper nigrum) telah membawa kekayaan dan kejayaan negeri Johor. Sehingga kini motif daun gambir dan lada hitam diabadikan dalam semua dokumen kerajaan, seni bina dan jata kerajaan, peralatan kerajaan dan darjah kebesaran.
Cara moden membangunkan ekonomi negeri Johor melalui usaha sama dan penswastaan sebenarnya telah dimulakan oleh Sultan Abu Bakar. Baginda meneruskan usaha Temenggong untuk memajukan tanaman lada hitam dan gambir secara komersial melalui usaha sama dengan orang Cina.
Persatuan Ngee Heng Kongsi yang diketuai oleh Mejar Cina Dato’ Tan Hiok Nee dilibatkan untuk mendapatkan dana. Suatu kawasan luas yang terletak antara tebing kiri Sungai Johor hingga kawasan pantai berhadapan Pulau Ubin telah ditanam dengan komoditi ini.
The Johore Steam Sawmill
Sultan Abu Bakar juga menubuhkan syarikat usahasama dengan James Alexander Meldrum untuk membina dan mengusahakan The Johore Steam Sawmill di Tanjung Puteri. Ia merupakan kilang papan yang terbesar di Asia Tenggara pada masa itu. Komoditi kayu dan hasil pertanian lain dieksport bukan sahaja ke negara Timur Jauh, bahkan juga ke Eropah terutamanya selepas pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869.
Pengurniaan Konsesi Tanah
Mulai tahun 1870, Sultan Abu Bakar mengurniakan sebidang tanah yang luas secara konsesi kepada individu yang mampu memajukannya dan menyumbang pendapatan yang dijana sebagai hasil negeri. Konsep pembangunan ini dianggap sebagai permulaan sistem penswastaan. Antara pemegang konsesi ialah Wong Ah Fook yang membangunkan bandar Johor Bahru dengan membina ruang perniagaan seperti kedai dan kemudahan komersial yang lain.
Wong Ah Fook dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri untuk membayar upah pekerjanya. Pembangunan amat pesat berlaku sehinggakan bandar Johor Bahru menjadi Revenue Farm (hasil cukai judi dan candu) kepada negeri Johor. Ketika itu Johor Bahru dikenali sebagai “Monte Carlo of the East”.
Sultan Abu Bakar mengurniakan konsesi kepada Dato’ Syed Mohamad Al-Sagoff di Kukup, Pontian untuk penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, gambir dan lada hitam secara komersial. Beliau juga dibenarkan menggunakan mata wang sendiri , iaitu “Constantinople Notes” yang dipadankan daripada nama Constantinople Estate.
Ungku Abdul Majid Ibni Temenggong Ibrahim menerima konsesi untuk memajukan kawasan yang sekarang dinamakan Kampung Melayu Majidee. Lim Ah Siang diberi konsesi untuk membangunkan Bukit Chagar dan kawasan di sebelah timur. Bandar Johor Bahru pula menjadi kawasan kediaman dan komersial.
Mata wang Constantinople Note 25 sen, 50 sen dan 1 dolar ( Sumber : Bank Negara Malaysia, 2003. Warisan Numismatik Malaysia)