Negeri Johor terkenal dalam kalangan pelayar dan pedagang semenjak kurun ke-10 dan ke-11, iaitu pada zaman Kerajaan Majapahit dan Sri Vijaya. Mereka menamakan Johor sebagai “Wurawari” dan “Gangga Ayu” dalam bahasa Jawa yang bermakna air jernih atau air bersih. Johor juga dikenali dengan nama “Galuh” (permata), manakala saudagar Arab menamakan “Jauhar” (permata). Kedudukan Johor di hujung Semenanjung turut diberi nama “Ujung Medini” atau “Ujung Tanah”. Walaupun apa nama yang diberi, Johor merupakan sebuah negeri kelautan yang terletak di kawasan strategik. Ia terletak di laluan kapal perdagangan melalui Selat Melaka amat terkenal dalam kalangan pedagang Barat termasuklah Inggeris, Belanda dan Portugis, pedagang dari Timur Tengah termasuk negeri Arab dan India dan dari Timur Jauh termasuklah dari China, Jepun dan Nusantara. Mereka terlibat dalam perdagangan rempah ratus, pertukaran barangan dan perdagangan entreport. Kedudukan yang strategik menyebabkan Johor menjadi rebutan dalam kalangan kuasa besar seperti Portugis, Belanda dan British untuk dijadikan pusat perdagangan, pemerintahan dan kuasa politik.
Johor di Persada Global
Permulaan Perdagangan Antarabangsa
Pada awalnya, pertukaran barangan dagangan Johor melibatkan hasil hutan seperti kayu balak, getah taban (gutta percha), rotan dan damar, kelapa, buah-buahan dan madu lebah. Mulai tahun 1840, komoditi lada hitam (Piper nigra) dan gambir (Uncaria gambir) menyumbang sebahagian besar eksport Johor untuk pasaran ke China dan Eropah. Perdagangan Johor berkembang maju dengan pembukaan Terusan Suez pada tahun 1865. Komoditi gambir digunakan sebagai bahan melembutkan kulit haiwan bagi dijadikan pengalas mesin pembuatan di China. Ini bermakna secara tidak langsung Johor menyumbang kepada revolusi perindustrian di negara tersebut. Tanaman gambir dan lada hitam ditanam secara komersial oleh Temenggong Ibrahim dengan usahasama orang Cina. Implikasinya, Johor menjadi pemegang utama monopoli komoditi tersebut.
Bermula dari zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, terdapat kegiatan melombong bijih besi di Sri Medan, Batu Pahat. Ia diusahakan oleh syarikat Jepun untuk dieksport ke Jepun. Perusahaan melombong bijih besi bertambah mulai tahun 1910 dengan pembukaan lombong logam di Bukit Kepong, Muar, Kota Tinggi dan Pengerang. Mutu bijih besi Johor amat tinggi dan mendapat perhatian pengusaha Jepun. Pelabur-pelabur Jepun inilah yang menyambut Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim semasa baginda berangkat melawat negara matahari terbit itu.
Sejarah Hubungan Luar
Ciri pemerintahan Kesultanan Johor Moden yang unggul apabila kesemua transformasi berjaya meletakkan Johor di persada global. Kepimpinan berilmu, berpendidikan Inggeris dan peka kepada persekitaran ekonomi dan sosio-politik memberi impak kepada kemajuan negeri dan rakyat. Kesultanan Johor Moden memulakan strategi untuk memasuki pasaran dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pengiktirafan antarabangsa bermula apabila Temenggong Ibrahim berjaya menghapuskan kegiatan lanun di perairan Singapura dan Riau, sekaligus memastikan keselamatan kepada kapal-kapal pedagang Inggeris. Pada tahun 1824, Queen Victoria mengiktiraf jasa khidmat Temenggong dengan mengurniakan sebilah pedang emas kepada baginda. Kerajaan British juga melantik baginda sebagai wakil diplomatik dan penasihat (emissary) dalam rundingan damai di Selangor dan Pahang yang tercetus akibat perebutan takhta kerajaan. Pada tahun 1875, British pula melantik Maharaja Abu Bakar sebagai wakil diplomatik untuk membantu menyelesaikan pertikaian yang tercetus akibat pembunuhan J.W.W. Birch di negeri Perak. Baginda juga dilantik sebagai penasihat untuk Seri Menanti, Jelebu dan Rembau di Negeri Sembilan bagi mengelakkan perbalahan dan kekacauan yang berlaku antara para pemimpin negeri itu. Kewibawaan dan kejayaan baginda menyebabkan Queen Victoria mengurniakan darjah Knight Grand Cross of the Order of Saint Michael and Saint George (GCMG) berserta sebilah pedang. Signifikannya, jasa Temenggong Ibrahim dan Sultan Abu Bakar telah meletakkan diri baginda dan negeri Johor di mata orang Inggeris dan pihak Barat.
Meletakkan Johor di Persada Global
Kedudukan Johor di persada global semakin terserlah selepas pelayaran Sultan Abu Bakar ke London pada tahun 1866 dan tahun-tahun seterusnya ke Eropah dan Timur Tengah (tahun 1878, 1885, 1889, 1893 dan 1895), Jawa (tahun 1881 dan 1883), Saigon, Hong Kong, China dan Jepun. Pelayaran ini mempunyai beberapa tujuan. Pertama, untuk memperkenalkan Johor di mata dunia. Kedua, Sultan Abu Bakar merancang melawat England untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai Sultan. Ketiga, baginda berhasrat mendapatkan sokongan global bagi tujuan mengekalkan kemerdekaan, keselamatan dan kemajuan Johor. Pada ketika itu, British sedang merancang untuk menjajah negeri-negeri di Tanah Melayu. Memperluaskan perdagangan global merupakan tujuan yang keempat. Lawatan tersebut membolehkan Sultan Abu Bakar melihat sendiri kemajuan dan pembangunan serta melaksanakan pelbagai inovasi dan reformasi untuk Johor dan rakyatnya. Winstedt menyebut “Abu Bakar toured the country (England) with an eye for his people”. Pihak British menghormati kepimpinan Sultan Abu Bakar disebabkan persahabatan akrab baginda dengan Queen Victoria. Perasaan cemburu dan bimbang British semakin bertambah apabila pada tahun 1886, Sultan Abu Bakar menubuhkan The Johor Advisory Board di London yang dianggotai mantan pegawai tinggi Inggeris yang berpengaruh. Secara tidak langsung, ia membolehkan Johor menerima nasihat dan menyusun tindak balas terhadap perancangan kolonial British tanpa terikat dengan penaklukan. Daya usaha dan tindakan susulan yang diambil menjadikan Sultan Abu Bakar bukan sahaja sebagai Bapa Johor Moden, bahkan juga terkenal sebagai seorang personaliti dunia.
Sebagai satu strategi dan usaha untuk mengembangkan dan mengukuhkan perdagangan antarabangsa, Sultan Abu Bakar telah meminta Kerajaan Johor mengambil bahagian dalam International Exhibition of 1862 United Kingdom, Paris Universalle 1867, Melbourne 1878, Calcutta 1883, Adelaide Jubilee Exhibition 1887 dan World Colombia Exhibition Chicago 1893. Usaha ini diteruskan di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim. Kerajaan Johor mengambil bahagian dalam pameran perdagangan antarabangsa di Golden Gate International Exposition San Francisco 1933. Inisiatif Sultan Abu Bakar ini digerakkan dan dijayakan oleh pegawai kerajaan yang berkebolehan. Ini disebabkan perjalanan yang jauh dan berkehendakkan perancangan teliti untuk membawa bahan pameran, dokumentasi dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa pada masa itu kebolehan pegawai kerajaan telah terserlah dan terlibat secara langsung terhadap hubungan luar.
Hubungan diplomatik terjalin apabila Sultan Abu Bakar diterima dengan penuh hormat dan diberi pengiktirafan di istana Eropah seperti Romania, Italy, Vatican City, di Timur Tengah seperti Mesir dan Constantinople dan di Timur Jauh termasuklah Jepun. Baginda merupakan orang Melayu dan Raja Melayu yang pertama menerima jemputan untuk berjumpa dengan Pope Leo XIII di Vatican City atas semangat toleransi ke atas agama Kristian. Baginda telah mengurniakan sekeping tanah secara pegangan kekal untuk mendirikan sebuah gereja Katolik di Johor Bahru. Bagi menghormati lawatan diraja bagi mengeratkan lagi persahabatan, baginda dikurniakan darjah kebesaran negara-negara tersebut seperti:
- Knight Commander Order of the Star of India (KCSI) Inggeris (1876)
- Knight Grand Cross Order of St Michael and St George (GCMG) Inggeris (23 Ogos 1876).
- First Class Order of the Crown of Prussia (1880).
- Knight Grand Cross Royal Order of Kalakaua (Hawaii) (1881).
- Grand Cordon of the Order of the Rising Sun (Jepun) (1883).
- Knight Grand Cross of the Order of Crown of Italy (Itali) (1885).
- First Class Order of the Double Dragon (China) (1892).
- First Class Imperial Order Of The Osmanieh (Bintang Majidi) (Turki) (1893).
- Saxe-Emestine House Order of Germany.
- Order of the Iron Crown of Austria (1893).
Sebagai balasan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala, baginda menjemput raja dan kerabat diraja negara-negara yang dilawati itu berkunjung ke Johor sebagai tetamu Baginda. Sultan Abu Bakar membalas jasa baik dan budi mereka dengan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati kepada tetamu diraja baginda. Dalam setiap lawatan, Sultan Abu Bakar meraikan mereka dengan jamuan kerajaan di Istana Besar. Selepas itu, baginda membawa mereka meninjau persekitaran bandar Johor Bahru serta melawat ladang kopi dan teh. Sebelum berangkat balik, baginda menghadiahkan mereka antara lain ialah bungkusan teh Johor. Tindakan seperti ini bukan sahaja mengangkat status Sultan Abu Bakar, bahkan mengharumkan nama Johor di persada global. Antara kerabat diraja asing yang menjadi tetamu Sultan Abu Bakar dan bersemayam di Istana Besar ialah:
- Duke of Edinburgh pada 16 Disember 1869. Sebuah tangga dibina untuk menyambut Duke mendarat yang dinamakan Tangga Duke. Pada keesokan hari, Sultan Abu Bakar membawa Duke bersiar di bandar Johor Bahru dan memuliakannya dengan menamakan sebatang jalan sebagai Jalan Duke.
- Grand Duke Alexis Alexandrovich of Russia (1871).
- Prince Henry of Prussia (1880).
- King David Kalakua of Hawaii (1881).
- Prince Albert Victoria and Prince George of Wales (1882).
- Duke of Sutherland (1888) – Sultan Abu Bakar membawa beliau melawat bandar Maharani dan bersemayam di Istana Tanjung, Muar.
- Archduke Francis Ferdinand of Austria (1893).
Persahabatan antara Sultan Abu Bakar dengan pemerintah asing diperkukuhkan dengan baginda mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati DK kepada :
- Prince Bernherd of Saxcie Waymor (1888).
- Raja Ali Kelana Ibni Yang Dipertuan Muda Riau (1892).
- Archduke Francis Ferdinand of Austria (1893).
- Prince Henry of Lichestaintine (1894).
- Prince Constantine Houe Heinioul Shelingsfurst (1894).
Kesinambungan Hubungan Luar
Kesultanan Johor Moden mengharumkan nama Johor di persada global dan mengekalkan hubungan baik dengan negeri dan negara asing. Inisiatif ini dimulakan oleh Sultan Abu Bakar menerusi Fasal 59 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang menyebut “Hendaklah Raja dan Kerajaan Johor sentiasa dan berkekalan ada dalam keadaan dan kedudukan yang muhibah dan baik dengan kerajaan-kerajaan lain”. Berdasarkan semangat dan nasihat ini, Sultan Sir Ibrahim meneruskan hubungan antarabangsa dengan mengadakan beberapa lawatan ke England, Eropah, Australia dan Timur Jauh. Pada tahun 1905, baginda berangkat ke London untuk menandatangani The Johor Railway Convention serta berunding dengan British War Office untuk mendapatkan bantuan pegawai latihan bagi ATSN. Kemudian, baginda berangkat melawat Kemboja, Saigon, Haipong dan Hong Kong pada tahun 1933. Pada tahun 1934, baginda dan Sultanah Helen mengelilingi dunia dari Hong Kong, Tokyo, Yokohama, Honolulu, San Fransisco, Hollywood, Chicago, Washington, New York, London, Port Said dan Algeria.
Sebagai mengikut jejak langkah Sultan Abu Bakar, baginda menjemput dan menjadi tuan rumah kepada raja-raja asing melawat Johor. Antaranya:
- King Chulalongkhorn of Siam (22 Mei 1896).
- Prince Henry of Prussia adinda kepada Kaiser of Germany (24 Februari 1898).
- The Duke and Duchess of Connaught (17 Februari 1907).
- Prince Carol bakal Raja Romania (Julai 1920).
- King Rama of Siam (1924).
- King Prachadipok of Siam (1928).
- The Marquis Tokugawa of Japan (22 Julai 1929) yang bertutur bahasa Melayu dan Inggeris.
- Crown Prince Frederick of Denmark diiringi Prince Knud, Prince Axel and Princess Axel (1930).
Atas usaha kerjasama dan mengeratkan hubungan, baginda dikurniakan darjah-darjah negara asing seperti berikut:
- Honorary Knight Cross Of The Most Distinguished Order of St Michael and St George (KCMG) British (1897).
- First Class Order of the Star of Osmanieh, Turki (4 Jun 1898).
- Honorary Knight Grand Cross of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (GCMG) British (1916).
- Honorary Knight Cross Of the Most Excellent Order of the British Empire (KBE) (Military) (1919).
- First Class Order of the Crown of Romania (1920).
- Grand Cordon of the Order of the White Elephant of Siam (28 September 1924).
- Grand Cross Order of the Imperial Dragon de l’Annam’ (16 Januari 1933).
- Grand Cross of the Royal Order of Cambodia (16 Januari 1933).
- First Class of the Imperial Order of Meiji Japan (7 April 1934).
- First Class Grand Cordon of the Order of The Rising Sun Japan (7 April 1934).
- Honorary Knight Grand Cross of The Most Excellent Order of the British Empire (GBE) (Civil Division) (3 Jun 1935).
- Grand Cross of the Order of the Crown of Italy (1938).
- Grand Cross Order of the Brilliant Star of Zanzibar.
Sebagai balasan, Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (DK) kepada:
- Prince Henry of Prussia (1898).
- Baw Dai Emperor of Annam (1933).
- Seiso Wangmunibung King of Cambodia (1933).
- Marquis Tokugawa Yoshietika of Japan (1935).
Tetamu Sultan Ibrahim yang Lain
Selain daripada raja-raja asing, beberapa pegawai tinggi tentera laut Jepun melawat Johor dan diraikan oleh Sultan Ibrahim di Istana Besar. Jalinan persahabatan ini ditandai dengan sambutan dan keraian yang diberikan oleh Sultan Ibrahim. Ia sebagai balasan lawatan baginda ke negara Jepun. Ia juga mungkin menjadi sebab bandar Johor Bahru tidak musnah semasa Perang Dunia Kedua. Antara yang menjadi tetamu Sultan Ibrahim pada tahun 1915 hingga 1926 termasuklah pegawai dan anggota kapal perang “Tokiwa” dan “Akashi” (1915), pegawai dan anggota kapal perang H.I.J.M.S “Izumo” dan “Yakumo” di bawah perintah Vice-Admiral H. Saito, (1922), Vice Admiral Tane Guchi dari Skuadron Latihan Jepun (1922) dan pada tahun 1926 Vice Admiral Yeisuke Yamamoto, Prince Fushimi dan Prince Yamashina.
Sultan Ibrahim dan Sultan Ismail juga menerima tetamu asing termasuklah penyanyi dan bintang Hollywood Frank Sinatra, penulis Somerset Maugham dan Lord Robin Maugham, pelakon Inggeris Orson Welles, Countess Mountbatten, Prince Sairuddin Khan dan anakanda Kaiser German. Pada masa yang sama, media eletronik dan cetak seperti Pathe News dan Metro-Goldwyn-Meyer membuat liputan untuk memperkenalkan Johor kepada khalayak global. Wartawan dan penulis seperti Florence Caddy yang mengiring Duke of Sutherland memberi gambaran yang menarik tentang Johor dan Sultan Abu Bakar. Frank S. Buck dalam bukunya “Bring Them Back Alive” memerihalkan keberanian Sultan Ibrahim memburu binatang buas termasuklah harimau. Semasa melawat San Francisco pada tahun 1934, Sultan Ibrahim menjadi tetamu khas bintang-bintang Hollywood.
Sultan Ismail, Sultan Iskandar dan DYMM Sultan Ibrahim masing-masing turut menerima penghormatan negara asing sebagai kesinambungan hubungan persahabatan. Sultan Ismail menerima darjah:
- Commander of the Star of Romania (16 Julai 1920).
- Grand Cross, First Class of the Most Honourable Order of the Crown of Siam (21 Julai 1925).
- Honorary Companion of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (CMG) (29 Disember 1926).
- Honorary Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (KBE) Civil Division (1937).
- Grand Officer of the Order of the Crown of Italy (11 November 1938).
Atas usaha kerjasama dan mengeratkan hubungan, baginda dikurniakan darjah-darjah negara asing seperti berikut:
- Honorary Knight Cross of The Most Distinguished Order of St Michael and St George (KCMG), British (1897).
- First Class Order of the Star of Osmanieh, Turkey 4 (Jun 1898).
- Honorary Knight Grand Cross of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (GCMG), British (1916).
- Honorary Knight Cross of the Most Excellent Order of the British Empire (KBE) (Military) (1919).
- First Class Order of the Crown of Romania (1920).
- Grand Cordon of the Order of the White Elephant of Siam (28 September 1924).
- Grand Cross Order of the Imperial Dragon de l’Annam’ (16 Januari 1933).
- Grand Cross of the Royal Order of Cambodia (16 Januari 1933).
- First Class of the Imperial Order of Meiji Japan (7 April 1934).
- First Class Grand Cordon of the Order of The Rising Sun Japan (7 April 1934).
- Honorary Knight Grand Cross of The Most Excellent Order of the British Empire (GBE) (Civil Division) (3 Jun 1935).
- Grand Cross of the Order of the Crown of Italy (1938).
- Grand Cross Order of the Brilliant Star of Zanzibar.
Hubungan dua hala antara Johor dengan Singapura yang terjalin begitu lama diperkukuhkan apabila Sultan Iskandar mengurniakan Darjah Mahkota Johor Pangkat Pertama Dato Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) masing-masing kepada Perdana Menteri Lee Kuan Yew (1984) dan Goh Chok Tong (1991). Universiti Nasional Singapura pula menganugerahkan ijazah kehormat Doctor of Laws Honoris Causa kepada Sultan Iskandar pada 12 April 2007.
Antara darjah negara asing yang diterima oleh Sultan Iskandar termasuklah:
- Grand Cross Special Class Order of Merit of the Federal Republic of Germany.
- Order of the Renaissance, Jordan.
- Grand Commander of the Order of Mali (6 Mei 1985).
- Knight of the Order of Rajamitrabhorn of Thailand (17 Disember 1985).
- Bintang Mahaputra Adipurna Repablik Indonesia (5 Mac 1987).
- Grand Order of Mugunghwa of Korea (3 November 1988).
Keprihatinan Antarabangsa
Dasar Kesultanan Johor Moden yang prihatin dan toleransi merupakan faktor yang menjadikan Johor terkenal di persada global. Sultan Sir Ibrahim menghormati Perjanjian Setia 1885 untuk bekerjasama dengan British dalam hal politik dan keselamatan serantau. Semasa Perang Dunia Pertama, Sultan Ibrahim telah membantu British dengan menggerakkan anggota Askar Timbalan Setia Negeri mempertahankan Pulau Belakang Mati dan kawasan Tanglin di Singapura. Baginda turut mengurniakan 16 buah pesawat udara untuk mempertahankan Singapura. Baginda menyumbang sebanyak $12 juta kepada Britain untuk melengkapkan 3 unit meriam terbesar di Changi, Singapura untuk menyekat kemaraan tentera Jepun menyerang Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Meriam ini masih ada di Singapura dan dinamakan The Johore Battery. Sultan Abu Bakar pula memberi perlindungan kepada orang Cina yang bermastautin di Johor. Keprihatinan ini dibalas oleh Maharaja China dengan mengurniakan bintang The Imperial Order of the Double Dragon.
Peranan Sukan
Kesultanan Johor Moden juga mewarisi aktiviti kesukanan yang mengharumkan nama Johor dalam mengurus sukan bertaraf antarabangsa. Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim dan Sultan Ismail, Johor tersenarai dalam peta dunia menerusi perlumbaan motosikal dan kereta antarabangsa. Kerajaan Johor telah menganjurkan The Johor Grand Prix mulai tahun 1940 dan berterusan pada tahun 1949, 1950, 1952, 1960 dan 1963. Para peserta terdiri daripada negara-negara asing termasuklah dari United Kingdom, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Hong Kong. Perbadanan Johor menghidupkan semula Johor Grand Prix di Litar Pasir Gudang mulai tahun 1986. Kejohanan The World Motorcycle Grand Prix Championship diadakan pada tahun 1998. Perbadanan Johor juga menganjurkan Pesta Layang-layang Antarabangsa secara berterusan mulai tahun 1998. Pesta ini berjaya menarik peserta dari luar negara termasuk China, Jepun, Belanda, Perancis, United Kingdom, Rusia, Indonesia dan India.
DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor amat berminat dalam sukan bola sepak dan polo. Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meletakkan Johor dalam peta dunia dalam sukan bola sepak. JDT mengambil bahagian dan menang dalam beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa. Strategi yang terancang dan kerjasama JDT dengan syarikat barangan dan perkhidmatan jenama terkenal telah menambah tontonan dan bilangan peminat tempatan dan antarabangsa. Ia termasuklah melalui video “world wide release” yang dikatakan mencecah 75 juta orang penonton. Akaun Facebook JDT pula mempunyai seramai 41 juta peminat. Kerjasama dengan United Nations Children’s Fund (UNICEF) meningkatkan reputasi pasukan JDT dalam sukan dan sosial. Ia menggambarkan keprihatinan Kesultanan Johor terhadap perlindungan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di seluruh dunia.
Hubungan Luar Sekarang
Pembangunan yang mampan, sistem pentadbiran yang berkesan dan kestabilan politik di Johor menarik perhatian negara luar. Wakil-wakil negara asing kerap kali mengunjung Johor dan menghadap Sultan Johor. Sehingga kini, DYMM Sultan Ibrahim kerap menerima menghadap duta-duta asing dan berbincang antara lainnya untuk membawa pelaburan ke Johor. Antaranya, HRH Duke of York, Putera Mahkota Fujairah (Emiriah Arab Bersatu) Sheikh Mohamad bin Hamad bin Mohamad Al Shaqi, dan Dr Omar Ali bin Haider, Pengerusi Omar bin Haider Holding Group Dubai. Tuanku menerima menghadap Duta Argentina dan Duta Besar Bandar Vatican ke Malaysia, Archbishop Joseph Salvador Marino yang masing-masing mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas limpah perkenan Tuanku mengampunkan rakyat asing yang terlibat dengan undang-undang di Johor. Selain itu, DYMM Tuanku berangkat membuat lawatan peribadi ke Australia, Kanada, Bahrain, Argentina, Cuba, Monggolia, China dan Filipina yang bertujuan mengeratkan persahabatan dan menjemput negara-negara itu melabur di Johor. Contoh yang paling nyata ialah pelaburan dari China dalam membangunkan hartanah di Tanjung Puteri (Princess Cove), Pantai Lido (Country Gardens) dan di Gelang Patah (Forest City).
Selain negara China, DYMM Tuanku pada 27 November 2017 membuat lawatan rasmi ke Bahrain, menghadap serta mengurniakan Darjah Kerabat Johor (DK I) kepada Raja Hamid bin Isa bin Salman Al Khalifah. Sebagai balasan, Baginda dikurniakan First Class Order of Sheikh Isa Ibn Salman Al Khalifa Bahrain. Pada 28 Ogos 2018, DYMM Tuanku melawat Monggolia atas jemputan Presiden Monggolia, Khaltmaagiin Battulga. Pada 10 Julai 2019, Sultan Johor mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada Presiden Filipino Rodrigo Duterte. Sebagai balasan, baginda dikurniakan darjah kebesaran Order of Sikatuna yang membawa gelaran “Datu” dari Presiden Rodrigo Duterte di Istana Malacanang, Manila.
Sebagai kesinambungan tradisi Kesultanan Johor Moden, DYAM Tunku Mahkota Johor menjalani latihan ketenteraan bersama Askar Timbalan Setia Negeri sebelum melanjutkan latihan bersama tentera India di Indian Military Academy Dehradun, India selama dua tahun. Tunku Mahkota Johor diberi penghormatan oleh Presiden India untuk mengetuai perarakan Hari Kebangsaan India pada 26 Januari 2007 di Jaipur di hadapan Presiden India, Dr A.P.J Abdul Kalam dan disaksikan oleh Presiden Rusia, Valdimir Putin dan Sultan Iskandar. Peristiwa ini menyaksikan Tunku Ismail sebagai orang asing, orang Melayu pertama dan putera Raja Melayu pertama mengetuai perarakan Hari Kebangsaan India.