Skip to main content

Peralihan Kuasa daripada Bendahara kepada Temenggong

Sejarah Awal

Pada tahun 1855, Sultan Ali Iskandar Shah yang merupakan keturunan Bendahara terakhir telah menyerahkan Johor kepada Temenggong secara sukarela, pemuafakatan dan bayaran pampasan melalui Perjanjian Setia yang dimeterai pada 10 Mac 1855.

Walaupun ketuanan negeri dan kerajaaan Johor telah berpindah daripada Sultan Ali Iskandar Shah pada tahun 1855, Temenggong tidak menggunakan gelaran Sultan bagi menghormati kedudukan Sultan Ali sebagai Sultan Kesang. Temenggong Abu Bakar juga tidak menggunakan gelaran itu walaupun jajahan Kesang diserahkan kepada Baginda sebagai jajahan takluk Johor pada tahun 1877.

Pusat pemerintahan Kerajaan Johor Lama di Sungai Johor. (Sumber : N.A.Halim, 1990. Kota-kota Melayu)

Baginda berhajat menukar gelaran daripada Dato’ Temenggong Sri Maharaja dan kemudiannya Maharaja atas dua sebab:

  • Pertama: Raja-raja Melayu tidak mengiktiraf Baginda sebagai pemerintah Johor kerana dikatakan Baginda bukan berdarah raja. Mengikut salasilah Kesultanan Johor, Baginda ialah keturunan berdarah raja melalui susur galur Bendahara Tun Habab.
  • Kedua: Gelaran Sultan akan meletakkan Baginda sama taraf dengan Raja-raja Melayu yang lain dan melebihi kuasa daripada British dan kuasa luar.

British berasa curiga terhadap Sultan Abu Bakar kerana kepintaran dan kebijaksanaan Baginda yang amat berpengaruh dalam menghubungkan antara negeri. Pengiktirafan Baginda sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor pada tahun 1885 memenuhi hasrat Baginda untuk memperkasa keabsahan kedudukan dan taraf Baginda untuk memajukan negeri Johor.

Persetiaan dan Perjanjian

Persetiaan antara Sultan Ali dengan Temenggong Ibrahim menyerahkan hak milik kerajaan dan semua tanah jajahan Johor pada 10 Mac 1855

Satu perjanjian persahabatan yang setiakawan dan perdamaian antara Yang Maha Mulia Sultan Ali Iskandar Shah Ibni Sultan Husain Mohamad Shah dengan Dato’ Temenggong Daeng Ibrahim Sri Maharaja Ibni Dato’ Temenggong Abdul Rahman Sri Maharaja ditandatangani pada 10 Mac 1855 di Singapura dengan disaksikan oleh W. J. Butterworth, Gabenor Negeri-Negeri Selat dan T. Church, Resident Councillor Singapura.

Intipati persetiaan ini memperuntukkan:

  • Sultan Ali Iskandar Shah bagi diri sendiri sampai keturunannya atau waris gantinya menyerahkan sepenuh-penuh kerajaan dan haknya kepada Dato’ Temenggong Daeng Ibrahim Sri Maharaja sampai kepada keturunan atau waris gantinya selama-lamanya, iaitu semua tanah daerah takluk Johor melainkan tanah Kesang.
  • Temenggong Daeng Ibrahim berjanji membayar wang 5,000 Spanish Dollar kepada Sultan Ali Iskandar Shah apabila sempurna tandatangan diturunkan dalam surat itu, dan juga 500 Spanish Dollar pada setiap bulan hingga selama-lamanya mulai 1 Januari 1855.
  • Temenggong Daeng Ibrahim melepaskan apa-apa tuntutan ke atas daerah Kesang, dan Sultan Ali sahajalah mempunyai hak dan memiliki kawasan tersebut selama-lamanya.
  • Sultan Ali dan waris keturunannya berjanji bahawa kawasan Kesang tidak boleh diberi atau dijual kepada sesiapa jika tidak terlebih dahulu ditawarkan kepada The East India Company dan kemudian kepada Dato’ Temenggong Daeng Ibrahim dengan sama harga dan setelah itu barulah boleh ditawar kepada orang lain.
  • Perniagaan hendaklah dibebaskan dan tidak boleh membangkitkan dan menimbulkan pergaduhan.
  • Sekiranya berbangkit suatu perselisihan, maka hal itu boleh diserahkan kepada hukuman atau penyelesaian British.
  • Persetiaan ini tidak mengubah atau mencacatkan perjanjian yang dibuat pada tahun 1824 antara The East India Company, Sultan Husain dan Temenggong Johor.

Penyerahan Jajahan Kesang

Beberapa perundingan antara Tunku Alam sebagai waris kepada Sultan Ali, British dan wakil Maharaja Abu Bakar telah diadakan bermula pada 3 September 1877. Akhirnya pada 5 Februari 1879, satu pemasyhuran dibuat oleh Menteri Besar, Dato’ Jaafar Muhammad yang menyatakan bahawa pada 9 November 1877, Maharaja Abu Bakar dipilih dan dilantik oleh Temenggong Muar dan Penghulu-penghulu Muar dan Kesang untuk menjadi raja bagi jajahan Kesang. Persetujuan ini mendapat pengiktirafan daripada Queen Victoria. Mulai tarikh itu, Maharaja Abu Bakar mempunyai hak memerintah jajahan Muar dan Kesang.

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini