Skip to main content

Kedaulatan dan Ketuanan Negeri Johor

Triti Persetiaan 17 Jun 1862

Satu persetiaan antara Maharaja Abu Bakar Johor dengan Sri Maharaja Bendahara Tun Koris Pahang ditandatangani di Singapura pada 17 Jun 1862 dan disaksikan oleh Orfeur Cavenagh, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Antara tujuan persetiaan ialah:

  • Johor dan Pahang mengaku bersahabat selama-lamanya.
  • Jika Johor mendapat kesusahan kerana diserang musuh, Pahang hendaklah membantu.
  • Jika Pahang diserang musuh, Johor hendaklah menghantar bantuan.
  • Sungai Endau dan Pulau Tioman telah ditentukan sebagai sempadan antara Johor dengan Pahang.
  • Rakyat kedua-dua belah pihak mempunyai kebebasan atau hukum yang sama.
  • Rakyat Inggeris hendaklah dibenarkan berniaga dan mendapat kebebasan atau hukum yang sama seperti rakyat negeri.
  • Apa-apa perselisihan yang berbangkit antara kedua-dua belah pihak hendaklah diserahkan kepada kerajaan British untuk diselesaikan.
  • Mana-mana pihak tidak boleh membuat apa-apa perhubungan dengan kerajaan asing tanpa pengetahuan British.

Kebijaksanaan dan wawasan Kesultanan Johor Moden menentukan ketuanan dan kedaulatan takhta, kerajaan dan Negeri Johor tetap kekal dan tidak ditelan zaman. Keabsahan kedaulatan dan ketuanan Johor adalah berdasarkan undang-undang dan peraturan yang terbukti daripada dokumen perjanjian, persetiaan dan triti.

Dokumen Persetiaan antara Sri Maharaja Abu Bakar Johor dengan Sri Maharaja Bendahara Tun Koris Pahang yang ditandatangani di Singapura pada 17 Jun 1862

Perjanjian Setia Kerajaan Johor-British 11 Disember 1885

Satu Perjanjian Setia telah ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan London antara Kerajaan British dengan Kerajaan Negeri Johor yang merdeka bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua pihak. Sultan Abu Bakar menandatangani persetiaan ini bagi pihak Kerajaan Johor, manakala Kerajaan British diwakili oleh Sir Frederick Stanley, Setiausaha Jajahan dan disaksikan oleh Dato’ Sri Amar Diraja, Dato’ Abdul Rahman Andak dan Mr. Robert G. W. Herbert.

Kandungan persetiaan ini meliputi:

Fasal 1 : Perjanjian ini menyatakan bahawa kedua-dua Kerajaan British Negeri-Negeri Selat dan Kerajaan Johor hendaklah bekerjasama memelihara muhibah serta memberi perlindungan keselamatan terhadap rakyat dan penduduk di jajahan masing-masing di samping mempertahankan jajahan mereka daripada pencerobohan musuh luar atau dalam serta menyerahkan orang-orang bersalah.

Fasal 2 : Kerajaan Johor akan bersama-sama menyempurnakan dan berikhtiar untuk memudahkan perniagaan dan mengadakan jalan darat menerusi Johor ke Pahang.

Fasal 3 : Apabila dikehendaki, Kerajaan Johor boleh menerima seorang pegawai Inggeris yang berpangkat Consular Officer serta disediakan satu tempat rumah kediaman.

Fasal 4Wang perbelanjaan yang digunakan di Negeri-negeri Selat diakui boleh digunakan di dalam Negeri Johor, iaitu dengan sama harganya dan mendapat pertukarannya daripada Kerajaan Negeri-Negeri Selat.

Fasal 5 : Setiap pegawai Inggeris bila-bila masa bebas melalui Laut Johor dan ditetapkan sempadan laut, iaitu tiga batu dari pantai dan mana-mana tempat yang kurang daripada enam batu hendaklah dianggarkan sama tengah antara kedua-duanya.

Fasal 6 : Johor tiada boleh membuat perjanjian atau sebarang perhubungan bertulis dengan kerajaan lain dan tidak boleh campur tangan dalam pemerintahan Negeri Melayu yang lain atau memberi konsesi kepada pihak lain daripada rakyat Inggeris. Sekiranya hendak dijalankan, maka kebenaran kerajaan Inggeris hendaklah diperoleh.

Fasal 7 :  Kerajaan Yang Maha Mulia Queen menyertakan dan mengaku bagi Yang Maha Mulia Maharaja Johor dan warisnya dan ganti-ganti memakai gelaran “Sultan bagi Negeri dan Jajahan Johor”.

Salinan asal Perjanjian 11 Disember 1885. (Sumber : Arkib Negara Malaysia)

Perjanjian Sempadan Johor - Singapura

Hubungan Johor dan Singapura memang istimewa dan unik. Satu surat perjanjian dalam perkara batasan perairan wilayah (territorial waters) Johor telah ditandatangani di Singapura pada 19 Oktober 1927. Surat perjanjian ini ditandatangani antara Tuan Yang Terutama Sir Hugh Charles Clifford dengan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan bagi negeri dan jajahan Johor. Saksi perjanjian bagi pihak kerajaan British ialah J.D. Hall dan J. Hakin, manakala saksi bagi pihak kerajaan Johor ialah Dato’ Abdullah bin Jaafar, Menteri Besar Johor dan Kapten Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman, Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Ibrahim. Perjanjian sempadan ini merupakan perjanjian yang kedua selepas perjanjian antara East India Company dengan DYMM Sultan Ibrahim yang dimeterai pada 2 Ogos 1824. Perjanjian sempadan 1927 ini mengandungi empat fasal, iaitu:

Fasal 1 : Batasan di antara perairan wilayah bagi penempatan penduduk  Singapura dengan negeri dan jajahan Johor melainkan ada dibutirkan lain dalam fasal ini  ialah suatu garisan yang dikira-kirakan menurut sama tengah bagi alur yang dalam bagi perairan pada Selat Johor, iaitu di antara tanah besar bagi negeri dan jajahan Johor pada satu pihak dan pantai laut sebelah utara Johor dengan Pulau Singapura, Pulau Ubin, Pulau Tekong Kecil dan Pulau Tekong Besar menjadi satu pihak lagi. Maka di mana-mana jua jikalau ada alur itu berpecah menjadi dua bahagian yang sama dalam serta larinya bersaing-saing bersebelah, maka batasannya iaitu lepas daripada melalui tengah alur perairan yang dalam dibawa ke timur Pulau Merambong meneruslah jalannya ke laut dengan tujuan am bagi pusingan disebabkan oleh alur itu sehingga terlintas kepada perhinggaan tiga mile (batu). Disukat dari tanda penghabisan surut di sebelah pantai selatan Pulau Merambong. Maka bagi kuala sebelah timur bagi Selat Johor batasannya  berpegang ialah melalui pada tengah alur perairan dalam di antara tanah besar Johor iaitu sebelah arah ke barat Bukit Johor dengan Pulau Tekong Besar. Kemudian menerus di tengah alur perairan dalam antara beting Johor dengan tanah besar Johor sebelah arah selatan Bukit Johor. Dan pada akhirnya berpatah arah ke sebelah selatan hingga terlintas kepada perhinggaan tiga mile (batu) yang disukat dari tanda penghabisan surut bagi tanah besar Johor pada tempat berwujud 192 degree (darjah) dari Tanjung Setapa. Batasan yang dibutirkan ditandakan dengan peranggaran garisan merah pada map (peta) yang dikembarkan di sini ialah yang menjadi sebahagian daripada surat perjanjian ini. Jika sekiranya pula map (peta) itu dengan sebab bertukar alur air dan lain ialah kelihatan pada sebarang masa menjadi pertelingkahan dengan maksud surat perjanjian ini, maka nyatalah dalam sebarang peri bagi maksud itu yang terpakai.

Fasal 2Tertakluk kepada syarat-syarat fasal pertama yang tersebut di sini bererti segala laut yang telah diserahkan kepada Yang Maha Mulia Sultan dan Temenggong Johor dalam Surat Perjanjian Setia bertarikh 2 Ogos 1824 ialah dalam hitungan cara mile (batu) laut itu dari tanah besar bagi negeri dan jajahan Johor yang disukat dari tanda penghabisan air surut yang demikian itu ditentukan menjadi perairan laut jajahan bagi negeri dan jajahan Johor.

Fasal 3 : Segala tokong-tokong pulau yang dalam perairan laut jajahan bagi negeri dan jajahan Johor yang dibutirkan dalam fasal pertama dan kedua di sini pada hal sehingga masa sebelum diadakan surat perjanjian itu menjadi satu bahagian daripada pemerintahan takluk His Britanic Majesty diserahkanlah di sini akan ketuanannya yang penuh dan menjadi harta kepada Yang Maha Mulia Sultan bagi negeri dan jajahan Johor,  waris-warisnya dan ganti-gantinya selama-lamanya.

Fasal 4 : Perjanjian ini tertinggal dengan tidak ada kuatkuasanya sehingga telah menerima persetujuan daripada Parlimen British.

Salinan asal Perjanjian Perairan 1927. (Sumber : Arkib Negara Malaysia)

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini