Pembangunan infrastruktur amat diperlukan untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan ekonomi negeri. Justeru Kesultanan Johor Moden mengutamakan pembinaan jalan raya. Dalam hal ini, Dato’ Bentara Luar Mohamad Salleh Perang telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan pelan penempatan bandar termasuklah perhubungan jalan raya. Pembinaan jalan raya diurustadbir oleh Jabatan Kerja Raya dibawah kelolaan Dato’ Yahya Awalludin sebagai Pengarah.
Infrastruktur
Pembinaan Jalan Raya dan Perkhidmatan Kereta Api
Pembinaan Hospital, Sekolah, Jambatan, Pelabuhan dan Lapangan Terbang
Sultan Ibrahim meneruskan pembangunan infrastuktur dengan pembinaan hospital, sekolah, jambatan dan lain-lain. The Singapore Directory 1890 menyebut bahawa Johor Bahru was a pretty town with well laid out roads, an esplanade over a mile long, large hospitals, waterworks and wharves. Pada zaman pemerintahan Sultan Ismail, Pelabuhan Johor dibina di Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Antarabangsa dibina di Senai. Perkembangan perdagangan antarabangsa yang pesat ditandai dengan penghantaran kargo atau barangan dalam kontena. Justeru, sebuah lagi pelabuhan dibina di Tanjung Pelepas, Gelang Patah.
Pembinaan Pangkalan, Jeti dan Perkhidmatan Feri, Bot dan Kapal
Kemudahan infrastruktur perhubungan yang lain termasuklah pembinaan pangkalan dan jeti untuk kegunaan pengangkutan yang menggunakan perkhidmatan feri, bot dan kapal. Bagi perdagangan antarabangsa, sebuah pelabuhan dibina di Tanjung Puteri dan Bandar Maharani. Kapal dagang yang masuk dan keluar dari Pelabuhan Tanjung Puteri dikehendaki membayar cukai sebagai menandakan kedaulatan Johor tetapi tidak disukai oleh British.
Mewujudkan Infrastruktur Rawatan Air Pertama dan Stesen Jana Elektrik
Sebagai tanda keprihatinan kepada rakyat, Sultan Abu Bakar menyediakan infrastuktur rawatan air yang pertama di Tasik Utara (Jalan Kolam Air) dan di Bukit Treh Muar pada tahun 1888. Sebuah stesen janakuasa elektrik dibina dan mula beroperasi di Jalan Air Molek pada tahun 1922.
Kereta Api Pertama
Sekembalinya ke Johor dari lawatan pertama ke England pada tahun 1866, Sultan Abu Bakar memperkenalkan inovasi fizikal yang bertujuan memodenkan negeri Johor dengan mengadakan sistem pengangkutan untuk rakyat. Pada tahun 1868, baginda mengilhamkan perkhidmatan Kereta Api Kayu dibina dari Johor Bahru ke Gunung Pulai. Ini menjadikan negeri Johor paling awal mengadakan sistem pengangkutan itu berbanding dengan sistem kereta api FMS dari Port Weld ke Taiping, Perak yang dibina 20 tahun kemudian. Walaupun perkhidmatan pengangkutan ini tidak berjaya atas sebab teknikal, Sultan Abu Bakar tidak berasa kecewa, bahkan pada tahun 1872 meneruskan cadangan membina landasan kereta api dari Tanjung Puteri ke Melaka. Cadangan ini tidak menjadi realiti kerana mendapat bantahan daripada pihak British. British juga membantah cadangan baginda untuk membina landasan kereta api dari Johor Bahru ke Muar.
Dengan kecekalan dan bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat, baginda berhasrat menjadikan bandar Muar sebagai model pentadbiran yang baik. Oleh sebab itu, Sultan Abu Bakar meneruskan cadangan membina landasan kereta api dari bandar Maharani ke Parit Jawa sejauh 15 km untuk memberi kemudahan pengangkutan hasil pertanian di kawasan dataran dan sekitarnya. Kereta api tersebut dinamakan Kereta Api Kerajaan Muar (Muar State Railway) yang berkhidmat dari tahun 1888 hingga 1921.
Sultan Ibrahim meneruskan cita-cita Sultan Abu Bakar untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan kereta api dari Gemas ke Johor Bahru. Pada tahun 1900, baginda pada asalnya bercadang membina perkhidmatan kereta api dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan negeri. Baginda bimbang perkhidmatan yang disyorkan oleh FMS akan membolehkan British campur tangan dalam pentadbiran Johor. Baginda juga berkehendakkan jajaran landasan kereta api dibina di pantai barat Johor meliputi Muar, Batu Pahat dan Pontian. Ini disebabkan lebih ramai penduduk terdapat di kawasan itu.
British tidak bersetuju dengan cadangan Sultan Ibrahim atas tiga sebab. Pertama, landasan yang dicadangkan bukanlah jenis meter gauge dan tidak sesuai dengan landasan kereta api FMS. Kedua, kemampuan kewangan Johor untuk menyediakan peruntukan $12 juta untuk projek itu. Ketiga, British mempunyai rancangan untuk membuka kawasan di tengah-tengah Johor untuk penanaman getah dan kelapa sawit secara komersial yang diusahakan oleh syarikat British. Sultan Ibrahim dengan nasihat Majlis Jumaah Menteri mempertahankan pendirian Baginda.
Walau bagaimanapun, pada 11 Julai 1904 Baginda menandatangani The Johor Railway Convention yang membenarkan FMS meneruskan perkhidmatan kereta api dari Gemas ke Johor Bahru dengan syarat landasan kereta api dibina oleh Kerajaan Johor melalui pinjaman wang daripada British yang perlu dibayar balik dalam tempoh 21 tahun. Johor berjaya membayar balik hutang itu tujuh tahun lebih awal dari tempoh yang ditetapkan. Pembinaan landasan kereta api sepanjang 193.92 km dimulakan pada tahun 1904 dan siap pada 7 September 1908.
Kemudahan kereta api FMS di Johor merupakan kemenangan moral bagi British kerana ini merupakan detik permulaan campur tangan British dalam pentadbiran negeri. Pada 7 Januari 1910, Douglas Graham Campbell tiba di Johor Bahru dengan menaiki kereta api. Beliau dilantik sebagai Penasihat Am pertama bagi negeri Johor pada tahun 1914. Sultan Ibrahim dan Jumaah Menteri menyifatkan kereta api sebagai kekalahan untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Johor. Antara tindakan pertama diambil oleh British ialah menyingkirkan Dato’ Abdul Rahman Andak sebagai Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Sultan Ibrahim yang dikatakan menentang cadangan British untuk membina jalan kereta api itu.