Sejarah Johor menyaksikan perebutan takhta apabila Sultan Mahmud III, Sultan Johor-Riau-Lingga mangkat pada tahun 1812. British dan Belanda cuba mengambil kesempatan ini untuk campur tangan dalam politik Johor. Belanda menyokong pelantikan Tengku Abdul Rahman, putera kedua dilantik sebagai Sultan. British pula melantik Tengku Husain, iaitu putera pertama Sultan Mahmud sebagai Sultan Johor pada 6 Februari 1819. British mempunyai matlamat untuk menguasai perdagangan di rantau Selat Melaka. British turut melantik Temenggong Abdul Rahman Ibni Dato’ Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor. Dari tarikh kemangkatan Temenggong Abdul Rahman pada 8 Disember 1825 selama 16 tahun, jawatan Temenggong Johor tidak dilantik disebabkan Sultan Husain bimbang menjalankan kuasa sebagai Sultan Lingga dan pihak British enggan diperintah oleh orang Melayu. Berdasarkan sejarah ini, Sultan Abu Bakar bersama 17 pembesar Johor menggubal perlembagaan yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Tujuannya untuk mengelakkan berulangnya sejarah perebutan takhta. Baginda juga berhasrat agar UUTKJ boleh mengekalkan kedaulatan Kesultanan Johor Moden dan pewarisan takhta keturunan baginda.