Skip to main content

Pakaian Tradisional Johor

Pakaian Tradisional Johor

Asimilasi budaya negeri Johor bermula dari tahun 1528 semasa pemerintahan keturunan Kesultanan Melaka. Johor merupakan negeri kelautan yang maju disebabkan kegiatan perdagangan rempah ratus, pertukaran barangan, perdagangan entrepot dan seterusnya berkembang kepada perdagangan antarabangsa. Selain memajukan negeri, perdagangan telah menyebabkan Johor terdedah kepada budaya asing yang dibawa oleh saudagar dari Eropah, Timur Tengah, India, China dan Asia Tenggara. Melalui pergaulan muhibah dan perdagangan itu, budaya asal Johor semakin diperkaya. Budaya Islam dan budaya Barat memberi impak yang amat tinggi dalam pembaharuan sistem politik, ekonomi, pentadbiran dan sosial di Johor. Saudagar dan mubaligh Islam dari Timur Tengah mengembangkan agama Islam. Sehingga kini, adat istiadat dan kebudayaan Johor merupakan gabungan adat resam Melayu, budaya Islam dan Barat. Perubahan pola pemikiran melalui pendidikan Inggeris telah mendukung system pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Sultan Abu Bakar. Justeru berlaku pencetus inovasi sistem pentadbiran moden dan menguatkuasakan pelaksanaannya.

Pakaian merupakan ciri budaya yang diserap dalam Kesultanan Johor Moden. Ia seiring dengan sejarah peradaban manusia. Pakaian merupakan keperluan manusia melindungi diri daripada unsur yang boleh mencederakan anggota, menyesuaikan suhu badan dengan cuaca, menjaga maruah dan memberi keselesaan pergerakan. Pakaian tradisional bukanlah fesyen tetapi suatu warisan dan mengandungi seni budaya dan peradaban bangsa. Pakaian tradisional mencorakkan budaya bagi sesuatu masyarakat melalui reka bentuk, jenis bahan, corak, warna dan lain-lain.  Pakaian dijadikan simbol dan lambang status, darjat, identiti kaum, kepercayaan dan upacara amalan keagamaan. Pakaian tradisional Johor yang dicipta oleh Sultan Abu Bakar semasa 160 tahun dahulu dan ditambah baik mengikut aliran zaman. Ia agak unik dan berbeza daripada negeri lain dari segi potongan dan cara memakainya. Ia masih kekal relevan sehingga kini.  Baju Johor lebih dikenali sebagai Baju Kurung. Ia merupakan jenis fesyen pakaian untuk menutup atau “mengurung” seluruh anggota lelaki dan perempuan. Baju kurung lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri persamaan seperti berpesak dan berkekek, berleher bulat (bulan-bulan), bertikam “tulang belut” dan berkancing satu. Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan yang ketara dari segi potongan dan cara memakainya.

Ahli Jumaah Majlis DiRaja berjalan masuk ke Istana untuk istiadat majlis letak kerja Kemahkotaan Sultan Ibrahim. ( Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar )

Pakaian rasmi Johor, iaitu baju kurung Teluk Belanga diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar semasa memerintah Johor dari Teluk Belanga, Singapura. Ia merupakan jenis pakaian yang longgar dan selesa dipakai bersesuaian dengan iklim tempatan. Baju ini dipadankan daripada pakaian saudagar dan pekerja dari India dan China. Baju kurung Teluk Belanga diperbuat daripada kain kapas yang nipis. Bajunya adalah labuh melepasi punggung dan lengan memanjang hingga ke jari. Sultan Abu Bakar mencipta dua jenis pakaian. Jenis pakaian pertama berleher atau berkolar tebal, tinggi dan keras dan lidah beralas. Kolarnya dipasang dua butang dan lidahnya tiga butang. Baju ini dinamai “cekak musang”, iaitu tengkuk cekak tinggi berdiri melingkari leher.  Pada zaman Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim, baju Melayu cekak musang dikhaskan untuk kerabat diraja dan golongan bangsawan ketika hadir di istana. Jenis pakaian kedua berleher bulat yang nipis dengan sulaman halus “tulang belut” dan berkancing sebiji butang ialah pakaian rakyat biasa.

Pakaian Lelaki

Baju Melayu Teluk Belanga bagi lelaki diperbuat daripada kain yang sama corak dan warna, iaitu sedondon. Seluar yang lebar dan selesa bagi pakaian ini dipadankan dari seluar yang dipakai oleh pekerja Cina. Ia pernah disebut “seluar Cina” atau “seluar kabul” yang bemaksud seluar yang dibenarkan dan panjang hingga ke buku lali. Seluar ini berbeza dengan pakaian seluar asli yang dipadankan daripada budaya Bugis dan Aceh seperti seluar sampak (paras paha), seluar katuk (paras lutut) dan seluar Aceh (paras betis). Bahagian atas seluar disambung atau bertakak dengan kain tongkah diperbuat daripada kain berlainan. Kain tongkah boleh diikat tanpa menggunakan tali pinggang. Pakaian seluar moden kini adalah satu kemajuan dan dipadankan dengan seluar fesyen Barat. Baju dilengkapi dua kocek besar di bahagian bawah baju. Almarhum Sultan Ibrahim menambahkan satu kocek kecil di bahagian dada kiri. Orang Melayu yang memegang tradisi mengekalkan baju Melayu tanpa kocek atas.

Koleksi Baju Melayu Teluk Belanga. (Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar)

Pada tahun 1982, Sultan Iskandar berhasrat untuk tidak membezakan darjat Raja dengan rakyat. Baginda meminda protokol pakaian dengan menetapkan baju Melayu Teluk Belanga dengan leher disembat halus cara tulang belut dan dikancing dengan sebiji butang dijadikan pakaian rasmi untuk orang Melayu Johor. Walau bagaimanapun, baju Melayu berleher cekak musang tetap popular dalam kalangan masyarakat Melayu, khasnya ketika menyambut sesuatu perayaan atau hari kebesaran seperti majlis perkahwinan.

Baju Melayu Teluk Belanga lelaki dilengkapi sehelai kain samping yang diperbuat daripada jenis fabrik seperti kain tenun, sutera, songket, kain pelekat, kain Bugis dan lain-lain dan mempunyai berbagai corak dan warna. Kain samping juga dikenali sebagai kain dagang atau kain pancung. Semasa memakainya, kepala kain samping diletakkan di sebelah belakang. Kain samping dipakai labuh melepasi lutut supaya nampak lebih kemas dan selesa. Cara memakai kain samping di sebelah luar dan baju dipakai ke dalam dikenali sebagai “berdagang luar”. Sekiranya kain samping dipakai di sebelah dalam dan baju dikeluarkan, cara ini dikenali sebagai “berdagang dalam”. Pada masa dahulu, hanya anak-anak raja dan orang bangsawan dibenarkan memakai secara berdagang luar ketika masuk ke istana. Mulai tahun 1982, cara pemakaian “berdagang luar” dijadikan cara berpakaian rasmi Johor.

Sultan Abu Bakar bergambar bersama A.E.H Anson, Gabenor Negeri-Negeri Selat pada tahun 1862. Baginda telah mencipta istilah baju Melayu Teluk Belanga.
(Sumber: Yayasan Warisan Johor)

Semenjak penubuhan Kesultanan Johor pada tahun 1528,  orang lelaki Melayu memakai destar, setangan atau setanjak bagi menutup kepala. Dengan kedatangan saudagar Arab, Parsi dan India dan khususnya selepas Sultan Abu Bakar melawat Turki dan Mesir, pakaian kepala berubah kepada serban dan songkok. Sultan Abu Bakar memilih songkok baldu hitam sebagai pakaian rasmi orang Melayu. Bagi melengkapkan pakaian Melayu moden, Sultan Abu Bakar menetapkan sepatu kulit hitam dan stoking hitam menjadi sebahagian budaya Johor bagi menggantikan capal yang berasal dari Jawa. Pakaian sepatu dan stoking yang dipadankan daripada budaya Barat  menjadikan pemakainya kemas dan berdisiplin, selain membawa kepada pemodenan Johor.

Pakaian Perempuan

Baju kurung Teluk Belanga bagi perempuan berpotong labuh sehingga menutup punggung dan ruang yang lebar untuk memberi keselesaan dan memudahkan pergerakan pemakainya. Potongan baju ini longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya diletakkan kekek. Pemakainya kelihatan lebih sopan dan memperlihatkan kesantunan wanita Melayu yang bersesuaian dengan peraturan berpakaian menurut syariat Islam. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan bulat lubang leher itu disembat halus dengan tangan secara tulang belut (atau tulang peringgi) dan dikancing dengan sebiji butang. Pada masa kini, sebiji kerongsang lebih popular digunakan sebagai kancing menggantikan butang. Pada zaman Sultan Abu Bakar, puteri raja dan isteri Dato’ sahaja yang dibenarkan memakai baju kurung cekak musang.

Sultanah Fatimah binti Abdullah (Wong Ah Gew). (Sumber : Muzium DiRaja Abu Bakar)

Baju kurung boleh dijahit secara sedondon, iaitu baju dan kain sarung diperbuat daripada kain dan corak yang sejenis dan warna yang sama ataupun secara berbeza antara baju dengan kain sarung. Sebelum tahun 2010, pakaian sedondon tidak berbunga atau tidak bercorak warna biru, kuning atau putih dilarang dipakai semasa hadir di istana. Pada masa itu, warna biru, kuning dan putih disebut sebagai “warna larangan” dan dikhaskan untuk Raja dan kerabat diraja. Pada tahun 2010, DYMM Sultan Ibrahim bertitah supaya larangan tersebut dibatalkan dengan memberi pilihan kepada dif perempuan. Kain yang berlainan jenis dan warna menjadi popular dalam kalangan gadis. Kain sarung yang berjahit (bukan kain lepas) diikat berlipat di sebelah kanan atau kiri secara “ombak mengalun” labuhnya sampai ke buku lali melambangkan ciri lembut wanita. Pada asalnya, kain diikat dengan tali pinggang. Pada masa sekarang, zip digunakan menggantikan tali pinggang dan ombak mengalun dijahit.

Pakaian Perempuan Johor. (Sumber : Busana Melayu Johor)

Pakaian baju kurung Teluk Belanga bagi perempuan pada asalnya tidak dilengkapi selendang atau tudung kepala. Pada zaman awal Kesultanan Johor, gadis Melayu memakai kain kelubung, kain dedukung atau tudung lingkup yang dijadikan tudung kepala untuk melindungi cahaya matahari apabila berjalan ke luar.  Pakaian ini bertukar kepada kain tudung yang diperbuat daripada kain nipis dan ringan dan dipakai secara selendang menutup kepala. Dengan peredaran masa dan cita rasa serta mematuhi syariat Islam, pakaian kepala ini berubah kepada tudung moden, mini telekung dan hijab. Pakaian kaki biasanya menggunakan sepatu atau selipar bagi melengkapkan pakaian perempuan.

Anda tidak dibenarkan menyalin semula kandungan ini